Pesan Rahbar

Home » » Laksamana pulang ke Perak

Laksamana pulang ke Perak

Written By Unknown on Saturday, 15 November 2014 | 22:27:00


Laksamana pulang ke Perak: Apakah yang tersirat?

Di sini ialah sambungan kepada segmen "Laksamana pulang ke Perak" yang diterbitkan dalam tabloid Kencana... Cerita di bawah ini telah keluar dalam edisi 15-31 Dis.. Tetapi yang di sini lagi istimewa kerana tidak diedit, sama seperti ketika ia mula ditulis hampir 2 bulan lalu (lambat keluar sebab Kencana ada masalah sedikit semasa itu). Apapun, bacalah... :]

Sudah hampir 2 bulan jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, seorang pejuang Melayu abad ke 19 dikembalikan ke Perak…
Begitu juga jasad menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim yang turut dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 kerana terlibat dalam pembunuhan Residen British J.W.W Birch. Kedua-duanya sudah selamat disemadikan kembali di tanah-air tercinta, Laksamana di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Menteri di kota peninggalannya di Matang.
Jika hari-hari sebelum peristiwa bersejarah itu menyaksikan dada-dada akhbar tempatan riuh sensasi dengan berita akan kembalinya jasad dua tokoh pejuang Melayu yang pernah “terkandas” hampir 100 tahun di Singapura akibat dilarang kembali ke tanah-air sendiri oleh British, hari-hari berikutnya pula menyaksikan mereka seolah-olah dilupakan kembali, hilang khabar berita hanyut semula ditelan zaman.

Seperti lazimnya dalam dunia moden hari ini, berita sebegini cuma hangat apabila ia mula-mula keluar sebelum senyap ditiup angin perubahan zaman apabila ia selesai. Tidak ada yang mahu mengulas apakah ada makna yang tersirat di sebaliknya.

Apapun, bagi sesetengah pihak terutama penulis yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Laksamana, proses pengembalian jasad itu meninggalkan erti penuh makna dalam jiwa ini, mungkin juga erti yang lebih besar bagi mereka yang sanggup mengkaji lebih jauh.

Alhamdulillah, sedikit cerita mengenainya sudah diabadikan dalam Kencana edisi lepas. Maka dalam edisi ini pula biar disuratkan sedikit pula makna yang mungkin tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan dalam sejarah mana-mana negara moden, hasil pengamatan dan perjalanan peribadi penulis.

SEJARAH DIUBAH SECARA SISTEMATIK.

Ramai tahu bagaimana peristiwa Perjanjian Pangkor 1874 telah menyaksikan hak-hak pribumi dicabul British terutama oleh Residen pertamanya di Perak J.W.W. Birch sehingga orang Melayu yang tidak tahan lagi membendung kemarahan bangkit memberontak lalu membunuhnya tahun 1875…
Ramai juga tahu bagaimana mereka yang dituduh terlibat – Datuk Maharajalela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Pandak Endut, Siputum dan beberapa yang lain dihukum gantung sampai mati sementara Sultan Abdullah, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Menteri Paduka Tuan dibuang negeri ke Pulau Seychelles tahun 1877. Tetapi berapa ramai yang sedar akan peristiwa berikutnya yang menyaksikan sejarah Tanah Melayu diubah sehingga orang Melayu jadi hilang punca sampai ke hari ini?

Berapa ramai yang sedar bahawa sebelum itu, Tanah Melayu ini penuh dengan bandar-bandar milik Melayu yang berasaskan hierarki penempatan bangsawan serta raja Melayu dahulu kala?
Bukankah tamadun Melayu sudah wujud beribu tahun dahulu, bukan setakat bermula dengan keSultanan Melayu Melaka abad ke 14 di mana pusat pemerintahannya di bandar Melaka sekarang pernah menjadi entreport antarabangsa, “Venice of the East” dengan tidak kurang 84 jenis bahasa dituturkan di pasar-pasar perniagaannya?…
Bukankah catatan jurnal panglima Portugis Alfonso Alburqueque yang menakluk bandar Melaka 1511 sendiri menyebut pihaknya telah merampas 3,000 pucuk meriam dan jumlah itu sebenarnya baru separuh meriam di kota Melaka?
Bukankah ini menunjukkan tamadun Melayu sudah lama gemilang, apalagi jika kita sanggup keluar daripada kepompong sempit sejarah untuk turut menyertakan keSultanan Samudera-Pasai di Aceh (bermula pertengahan abad ke 13 Masihi) serta keSultanan Perlak (mula abad ke 9) juga di Aceh sebagai tamadun Melayu yang layak diwar-warkan dalam buku teks sejarah untuk diajar kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia?
Apalagi jika kita sanggup menyertakan tamadun GanggaNegara yang berpusat di Perak dan Langkasuka yang meliputi Kedah, Kelantan dan Patani, masing-masing telah bertapak hampir 2,000 tahun dahulu sebagai tamadun kegemilangan Melayu sebelum munculnya syariat Nabi Muhammad SAW!

Malangnya sejak kekuasaan Melayu dipekup dengan lantang oleh kuasa Barat, kesan-kesan kegemilangan Melayu dihilangkan dengan licik sementara bandar-bandar baru model British yang mengangkat bangsa lain sebagai peneraju ekonomi diterbitkan secara sistematik sehingga anak Malaysia sekarang tidak sedar bahawa dahulu, tidak begitu lama dahulu, sekitar 120 tahun dahulu, pernah wujud bandar-bandar Melayu di serata bumi Timur ini.

Maka kita yang hidup zaman sekarang celik mata sahaja terus melihat segala kegiatan ekonomi diterajui bangsa bukan Melayu, tidak pernah terfikir pun keadaan ini sebenarnya baru diterbitkan British dalam era moden ini sehingga kita lupa, suatu masa dahulu bangsa Melayu pernah betul-betul berdaulat di bumi ini.

BAGAIMANA INI BOLEH BERLAKU?

Peristiwa pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin seakan-akan menyentak fikiran kepada tempoh-masa sekitar Perjanjian Pangkor 1874… Jika dahulu penulis lebih berminat mengkaji sejarah lebih lama melibatkan kaitan keSultanan Melaka dan Aceh dengan Perak sehingga sanggup bermalam di makam-makam purba mencari ilham dan petunjuk, tempoh sebulan sebelum peristiwa itu seolah-olah memanggil-manggil menyuruh mencari di manakah pula bersemadinya Laksamana Muhammad Amin yang merupakan moyang kepada datuk penulis.

Barulah sedar, Laksamana yang pernah dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah ini disemadikan di Singapura lalu timbul perkiraan untuk menziarahi makamnya walaupun sudah 20 tahun tidak menjejakkan kaki ke pulau itu. Entah kenapa, hari itu juga boleh terjumpa sebuah artikel dalam akhbar tempatan menyatakan jasad Laksamana akan dikembalikan ke Perak 9 September.

Seolah dirancang, penulis terus menghubungi seorang bapa saudara yang baru dikenali kembali seminggu lalu untuk memberitahu akan berita baik itu…
Sebaliknya bapa saudara itu telah lebih dahulu tahu akan perkembangan itu malah menjemput penulis supaya menyertai rombongan keluarga menyambut jenazah Laksamana di Lumut seterusnya menghadiri upacara pengkebumian di makam diraja di Bukit Chandan.

Sepanjang perjalanan daripada Lumut ke Kuala Kangsar menaiki bas kerajaan Perak, penulis yang sudah lama memusatkan fikiran terhadap sejarah Melayu 300 tahun ke atas tiba-tiba terfikir sejak bilakah munculnya bandar-bandar yang terajui bangsa asing di bumi Melayu ini. Memang sejarah rasmi mencatatkan Taiping yang didirikan British tahun 1880an adalah bandar pertama bukan Melayu di tanah-air kita…
Jadi kenapa pula kita yang hidup di zaman moden ini sering terasa seolah-olah bandar-bandar sebegini (bukan milik Melayu) telah wujud berkurun-kurun di Tanah Melayu? Kenapa sampai orang Melayu sekarang boleh jadi begitu lemah sehingga dikatakan segala aktiviti ekonomi akan tergencat jika bangsa asing berhenti berniaga walaupun sehari?

Insyaallah, cerita mengenai kewujudan bandar-bandar Melayu pra-British akan kami suakan dalam isu Kencana yang kemudian. Buat masa ini, biar kita susur sedikit sejarah selepas Perjanjian Pangkor yang menyaksikan proses perubahan Tanah Melayu, bermula di Perak sehingga jadilah Malaysia yang kita lihat hari ini.

PERUBAHAN SETERUSNYA.
Sejak tahun 1877 menyaksikan para peneraju utama kepimpinan negeri Perak dibunuh atau dibuang negeri, tinggallah negeri yang mewarisi benih keSultanan Melaka itu terumbang-ambing dihimpit kekuasaan British berserta kemasukan beramai-ramai kaum lain yang bakal membentuk demografi negara Malaysia moden nanti.

Mungkin ramai tidak tahu, sejak itu, Perak sebenarnya diperintah British atas nama Sultan Abdullah sedangkan si Sultan pula terkapai-kapai jauh di negeri orang… Gantinya cuma Raja Yusuf yang bergelar Raja Muda, maka Perak sebenarnya tidak beraja sampailah 10 tahun kemudian apabila Raja Yusuf ditabalkan sebagai Sultan Yusuf Sharifuddin, Sultan Perak ke 27 pada 11 May 1887. Itupun sang Sultan sempat bertakhta tidak sampai 3 bulan, sebelum mangkat 26 Julai tahun yang sama.

Maka tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyekat apa-apa program British untuk membentuk Perak mengikut acuan mereka, samada dengan menghilangkan kesan-kesan kegemilangan bandar Melayu mahupun dengan mendirikan bandar-bandar baru yang bakal diterajui bangsa asing yang dibawa beramai-ramai ke Perak.

Baki kerabat diraja dan pembesar nampaknya terpaksa mengalah dan angguk bersetuju dengan apa-apa program British. Sejarah membuktikan Perak adalah negeri pertama di Tanah Melayu yang “dirombak” penjajah dalam proses “modernisasi”nya sebelum polisi yang sama dikembangkan ke atas negeri-negeri lain di Semenanjung.

Kemangkatan Sultan Yusuf yang bertakhta di Sayong menyaksikan menantu baginda Sultan Idris I dimasyurkan sebagai Sultan Perak ke 28 pada 29 Julai 1887 sebelum ditabalkan di bandar diraja baru iaitu Kuala Kangsar 5 April 1889.

Pembukaan Kuala Kangsar yang hampir selari dengan pembukaan bandar Taiping memecah tradisi hampir 400 tahun keSultanan Perak apabila buat pertama kalinya dalam sejarah, perjanjian asal antara Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I dengan seorang pembesar wanita bernama Tok Temong dirombak… Mengikut perjanjian yang berlaku semasa pertabalan Sultan Muzaffar tahun 1528 itu, anak cucu Sultan akan memerintah mudik kanan Sungai Perak sementara anak cucu Tok Temong di sebelah kiri. Sila rujuk artikel mengenai Tok Temong untuk huraian lanjut.

Pembukaan kota Kuala Kangsar dengan Sultan bersemayam di sana sendiri menandakan perjanjian ini tidak dipatuhi lagi kerana kota itu terletak di mudik kiri Sungai Perak… Tapi mengikut sejarah rasmi Perak sekarang, perjanjian itu dimansuhkan apabila Sultan Idris mendapat alamat ketika baginda masih menjadi Raja Muda. Mengikut ceritanya, baginda telah pergi memburu di kaki Gunung Bubu lalu terjumpa seorang tua… Orang tua itulah yang memberitahu baginda akan menaiki takhta Perak dan harus bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Apakah ada makna mendalam di sebalik peristiwa ini? Yang pasti, di sinilah bermula sejarah Raja-raja Melayu mula “di Mat-Saleh” kan… Sejarah rasmi yang diolah cendekiawan Barat menyatakan Sultan Idris sebagai Sultan paling moden dan progresif di Tanah Melayu… Baginda dipuji sebagai raja yang pandai mengikut perkembangan zaman lalu mengaplikasikan segala saranan Inggeris demi “memajukan” Tanah Melayu. Pada zaman pemerintahan Sultan Idris lah wujudnya maktab perguruan pertama di tanah-air iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Selain itu, wujud juga Maktab Melayu Kuala Kangsar yang lebih dikenali sebagai MCKK sebagai kolej menengah elit yang asalnya dibuka untuk anak-anak raja dan bangsawan Melayu memasuki bidang perkhidmatan awam ala Inggeris.
Baginda juga adalah raja yang mula sekali memakai pangkat Colonel askar dan mendapat bintang gelaran Sir daripada Ratu England.

Mungkin ada yang menganggap gelaran itu adalah satu penghormatan besar bagi seorang Raja Melayu tetapi pada pihak lain, ia sebenarnya adalah satu penghinaan terhadap orang Melayu secara halus. Ini kerana pangkat Sir ialah pangkat orang kebanyakan, ibarat memberi gelaran Datuk kepada seorang Sultan sedangkan baginda sebagai kepala orang Melayu harus diberi bintang seperti Darjah Kerabat yang lebih selari dengan kedudukan baginda.

Apapun, pembukaan Bukit Chandan yang menandakan permulaan berkuasanya Raja-raja Melayu berpendidikan Barat, selari dengan pembukaan bandar Taiping yang diterajui bangsa asing, boleh dikatakan sebagai model awal acuan Malaysia moden nanti… Dan ia terjadi sebagai natijah Perjanjian Pangkor 1874 dengan kuasa Melayu untuk menentukan hala-tuju dan aspirasi bangsa sendiri dipatahkan dengan berlakunya hukuman bunuh serta buang negeri terhadap para pemimpin Melayu tahun 1877.

Maka dalam konteks ini, apakah pengembalian jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan mempunyai makna tersirat?
Insyaallah, kita akan meneroka perkara ini lebih lanjut dalam keluaran Kencana seterusnya nanti.

Tok Temong.

Salah satu tempat yang wajib diziarahi setiap Sultan Perak dalam proses pertabalan baginda adalah Makam Tok Temong di Kampung Temong Hulu, daerah Kuala Kangsar. Malah makam purba yang terletak di tebing kiri Sungai Perak menghampiri ke daerah Hulu Perak ini adalah tempat wajib pertama untuk diziarahi sebelum Sultan melawat makam-makam purba lain sepanjang Sungai Perak, diakhiri dengan baginda menjejakkan kaki di Beting Beras Basah, kuala Sungai Perak, tempat kapal Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I tersangkut semasa mula sampai ke negeri ini.

Anehnya, makam-makam lain yang perlu diziarahi adalah milik Sultan-sultan terdahulu sedangkan Tok Temong bukannya seorang Sultan malah beliau seorang perempuan. Lebih aneh lagi, mengikut cerita orang-orang yang tahu, apa yang tertanam di Makam Tok Temong adalah sebuah tongkat milik beliau, bukan jasad tubuh-badan! Jadi apakah yang begitu istimewa tentang Tok Temong sehingga makamnya menjadi tempat pertama perlu diziarahi setiap Sultan Perak yang sedang ditabal?

Sejarah rasmi negeri Perak mencatatkan Tok Temong sebagai seorang pembesar di Hulu Perak yang terlibat dalam proses pertabalan Sultan Muzaffar Shah I tahun 1528 Masihi. Sultan pertama Perak yang merupakan anakanda Sultan Mahmud Shah Melaka dengan isterinya dari Kelantan, Puteri Onang Kening telah dijemput oleh para pembesar di Perak lalu disambut penuh istiadat termasuk oleh rombongan yang mengandungi 70 ekor gajah. Tok Temong yang sangat dihormati kerana kealimannya serta dikenali sebagai seorang wanita yang memiliki karamah bertaraf wali. Beliau telah menghadiahkan sejenis barang azimat yang dikenali sebagai Mastika Embun kepada Sultan lalu baginda membalasnya dengan setepak sirih yang dikenali sebagai Puan Bujur.

Namun Tok Temong menolak pemberian itu malah beliau meminta satu wa’ad atau janji iaitu – anak cucu Sultan akan memerintah mudik kanan Sungai Perak turun-temurun sementara anak cucu Tok Temong memerintah di mudik kiri. Janji itu diperkenankan Sultan, maka sebab itu pusat pemerintahan Perak serta makam-makam diraja terletak sebelah kanan Sungai Perak (Bota Kanan dan sebagainya)… Sampailah Sultan Idris I, Sultan ke 28 Perak membuka Bukit Chandan penghujung abad ke 19.

Yang menarik, bagaimana seorang wanita yang dikatakan cuma bertaraf pembesar boleh berunding dengan Sultan untuk membahagikan wilayah pemerintahan kepada dua bahagian untuk diperintah anak cucu masing-masing? Bagaimana boleh seorang pembesar biasa berunding dengan seorang raja yang mewarisi daulat keSultanan Melaka jika beliau sendiri tidak memiliki daulat atau mempunyai taraf kepimpinan yang sama?

Kebanyakan sumber sejarah rasmi menyatakan Tok Temong, juga dikenali sebagai Tun Perabu sebagai adinda kepada Tun Saban, seorang pembesar di Hulu Perak, ada juga yang menyebut beliau sebagai anakanda pembesar itu. Tun Saban pula dikatakan sebagai anakanda kepada Tun Perak, Bendahara semasa zaman kegemilangan Melaka. Jika ini benar, maka Tok Temong adalah bertaraf seorang anak Bendahara, maka mana mungkin layak berunding untuk memecahkan wilayah pemerintahan dengan seorang pewaris keSultanan Melaka bukan? Apakah mungkin Tok Temong berasal daripada satu jurai keturunan raja yang tinggi daulatnya juga? Ini tidak mustahil kerana ada cerita lisan masyarakat setempat di Hulu Perak menyebut, Tok Temong semasa bayi dijumpai di dalam sebuah peti kaca yang hanyut di Sungai Perak lalu dijadikan anak angkat oleh keluarga Tun Saban.

Ada kajian pula menyebut Tun Saban sebagai berasal daripada keluarga diraja Samudera-Pasai di Aceh. Apakah mungkin Tok Temong sendiri adalah seorang puteri diraja Aceh memandangkan makamnya sekarang ditanda dengan batu nesan diraja Aceh? Mungkin juga, kalau tidak kenapa penghormatan begitu tinggi telah diberi kepada beliau walhal apa yang ditanam cuma sebatang tongkat yang ditinggalkan apabila beliau ghaib, langsung hilang khabar berita.

Sedikit catatan daripada buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” untuk renungan
Berikut adalah sedutan daripada Bab 2 buku “Berpetualang” yang banyak menyentuh keadaan keSultanan Melaka selepas kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Shah. Atas sebab-sebab tertentu, anakanda baginda yang lebih tua Raja Munawar telah disisihkan daripada takhta, sebaliknya anakanda daripada ibu berdarah Bendahara yang masih berhingus pula diangkat menjadi Sultan Mahmud. Tidak lama kemudian Melaka pun diserang lalu dijajah Portugis tahun 1511. Bermulalah episod malang bangsa Melayu sehingga banyak sejarah sebenar bangsa digelapkan lalu kita hilang punca dan identiti sampai ke hari ini.

Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah?

Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak Melayu kalah? Kuno dan mundur ketinggalan zaman...

Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh?

—————————
“Tidak. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno,” Rasyid bercerita ala seorang pejuang bangsa di hadapan beberapa orang kenalan lain pula. “Dahulu lagiMelaka sudah memiliki meriam dan istinggar yang boleh dibeli dari Timur Tengah atau Cina, sudah kenal apa itu baju besi. Malah aku yakin orang Melayu sudah mampu membuat semua alatan perang ini sendiri. Ingat Melayu dahulu bodoh sangatkah?”
“Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang,” dia meneruskan. “Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.”

Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak...

“Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?” Rasyid mengutarakan. “Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka?”

Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang? Satu soalan cepumas yang membuat ramai kenalan pemuda itu ternganga...
“Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah,” dia mencabar pula. “Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?”

“Inilah akibatnya bila raja yang bodoh dan rakus diangkat menaiki takhta sementara pembesar yang korup diharap menjaga negara.” Rasyid terus bercerita. “Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap?
Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka?
Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?”

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga!
Rasyid juga pernah terbaca, tidak ingat di mana, sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat?
Yang pasti, ada pihak yang membelot...

Chaakkk!!!

Subhanallah! Setelah lebih 2 minggu membiarkan blogspot ini "berkarat" tanpa menambah apa-apa isi baru, baru malam ini tergerak untuk bercerita lagi di sini. Sebenarnya penceritaan telah dimulakan lebih setengah jam tadi dengan memperihalkan pengembaraan terbaru saya di utara tanah-air yang baru tamat Isnin lalu, terus ke dalam blogspot ini. Malangnya komputer laptop saya ada sedikit masalah semenjak-dua menjak ini. Kalau dalam beberapa hari lepas ia kadang-kadang tidak mahu hidup - terpaksa pula dibetulkan balik kedudukan bateri sebelum on balik, sejak petang ini pula ia menghadapi masalah mati tiba-tiba tanpa sebab... Dan tadi ia buat hal lagi sebelum posting sempat "melekat"...

Mungkin kerana disebabkan hentakan demi hentakan yang ditanggung selama ini? Sepanjang pengembaraan, saya turut membawa laptop ini bersama dan untuk memudahkan perjalanan, ia cuma disimpan di dalam beg galas, bukan beg khas yang boleh menyerap hentakan. Dan sudah lazimnya apabila berjalan lasak, ada masanya beg ini terhentak pada dinding atau jatuh ke lantai dan permukaan keras.

Apapun, cukuplah kalau dikatakan hampir sebulan kebelakangan ini telah digunakan untuk menjelajah utara tanah-air. Minggu pertama boleh dikira santai kerana saya duduk di hotel mahal di Prai untuk menemani seorang sepupu yang sedang outstation... Selepas itu barulah keluar mengembara seperti biasa menaiki kenderaan awam di samping hitchike menumpang motosikal, kereta dan lori atau berjalan kaki berbatu-batu tak kira masa.

Dipendekkan cerita, saya sempat bermalam di Masjid Lebuh Aceh, Batu Feringgi dan Kuala Muda Penaga (di sempadan Pulau Pinang/ Kedah) sebelum singgah di Kota Kuala Muda dan Sungai Petani. Seterusnya tidur di sebuah surau di Merbok sebelum melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang, pusat ekskavasi Pengkalan Bujang dan menziarahi makam Sultan pertama Kedah masuk Islam, Sultan Muzaffar Shah yang dikatakan mangkat tahun 1136 Masihi, hampir 300 tahun sebelum kemunculan keSultanan Melaka!

Perjalanan diteruskan untuk ke Yan, Alor Setar, Kuala Kedah, Langkawi, Kangar di Perlis sebelum timbul gerak untuk menapak seorang diri memanjat ke puncak Gunung Jerai pada malam Jumaat lepas... Keesokannya sempat pula ke Manjung untuk menghadiri sebuah perhimpunan kawan-kawan di Teluk Batik seterusnya mengembara ke Pulau Pangkor setelah hampir 7 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana.

Hmm... Penat sungguh rasanya kerana pengembaraan saya kali ini sebenarnya telah dimulakan pertengahan Disember lalu untuk ke Terengganu, Kelantan dan Pahang sebelum menyambut Aidil Adha di kampung ibu di Muar lalu singgah bermalam di makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488 Masihi), seterusnya Pulau Besar, Melaka.

Cukuplah buat masa ini.... Bila timbul gerak insyaallah saya akan bercerita panjang lebar lagi... Takut pula kalau-kalau komputer buat pasal nanti!

Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!

Allah! Lega sungguh rasanya apabila posting tadi bertajuk "Chaakk!!!" (sempena lama tak buat posting di sini) "melekat" juga. Maka di sini, ingin pula hamba menambah cerita terbaru di bawah segmen "Laksamana pulang ke Perak" yang telah keluar di dalam edisi ke-111 majalah tabloid Kencana (untuk 15-31 Januari 2007). Cuma yang di sini ada sedikit perbezaan kerana ia adalah copy yang asal sedangkan cerita yang keluar dalam Kencana telah disunting pengarang. Iqra'... :)


Kelmarin kita telah menyentuh mengenai kemungkinan akan adanya makna tersirat di sebalik pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 9 September 2006. Makna tersirat yang dimaksudkan adalah mungkin telah sampai masanya sejarah Tanah Melayu patut diselidik, dirombak dan ditulis kembali demi mengembalikan kekuatan sebenar bangsa yang semakin luput ditelan arus kemodenan zaman.

Sekadar mengimbas kembali, Laksamana Muhammad Amin adalah salah seorang pejuang Melayu Perak yang disabitkan terlibat dalam peristiwa pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Di kala beberapa pejuang lain seperti Datuk Maharajalela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Pandak Endut dan Si Putum dihukum gantung 1877, beliau, Sultan Abdullah, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor pula dibuang negeri jauh ke Pulau Seychelles di perairan Afrika.

Sultan Abdullah mendapat “pengampuan” British lalu sempat kembali ke negeri asalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir di sana 1922 sementara yang lain dilaporkan meninggal dunia di Singapura. Dalam konteks ini, pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Perak ternyata amat bermakna. Ia dilakukan penuh istiadat, dan kebetulan jenazah dibawa kembali menaiki kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin!

Jenazah Ngah Ibrahim turut dibawa kembali bersama tetapi ada pihak mempertikaikannya. Menurut mereka, menantu Laksamana itu sempat kembali ke Perak secara senyap dalam tahun 1920an lalu identitinya dirahsiakan untuk mengelak dari dikesan pihak penjajah. Nasib baik tidak ada pertikaian tentang identiti jenazah Laksamana kerana pada tahun 1980an, ia pernah dialih daripada Jurong, Singapura yang sedang dimajukan, ke Pusara Abadi dengan disaksikan waris terdekat. Maka biarlah cerita ini diteruskan lagi mengikut perspektif penulis, seorang anak Melayu generasi ke-5 keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.

Apapun, negeri Perak seterusnya seluruh Tanah Melayu banyak dibentuk mengikut acuan Barat setelah hilangnya para peneraju perjuangan bangsa seperti almarhum. Maka apakah pengembalian jenazah Laksamana ke negeri asalnya itu setelah hampir 100 tahun “ditahan” di Singapura, pusat pentadbiran penjajah Inggeris di Nusantara menandakan permulaan beberapa cerita lama yang selama ini terpendam akan dibuka kembali untuk menyedarkan generasi kini dan akan datang?

Cetusan Ilham dalam mencari kebenaran.

Dalam cerita yang lepas, telah dinyatakan bagaimana kebanyakan yang kita ketahui atau pelajari sebagai sejarah rasmi tanah-air kita sebenarnya lebih merupakan sejarah yang dibentuk daripada perspektif Barat atau kaca-mata penjajah. Maka itu tidak dapat tidak, mesti ada kisah yang digelapkan lalu digantikan dengan penceritaan (malah tokok tambah!) daripada sudut lain demi menjaga kepentingan pihak tertentu dan meminggirkan golongan yang tidak sealiran.

Telah dinyatakan juga bagaimana penulis sendiri tergerak untuk memikirkan sejak bilakah bandar-bandar yang diterajui bangsa bukan Melayu mula bercambah di Tanah Melayu. Cetusan rasa itu berlaku ketika mengikuti rombongan membawa jenazah Laksamana Muhammad Amin daripada Lumut ke Bukit Chandan…

Bukankah bandar pertama sebegini ialah Taiping yang diwujudkan pihak British tahun 1880an? Bukankah sebelum itu semua bandar di bumi Timur ini dikuasai orang Melayu sejak zaman-berzaman?
Jadi mengapakah kita yang hidup sekarang ini merasakan seolah-olah orang lain telah menguasai ekonomi Tanah Melayu sejak azali lagi?
Perhatikanlah di mana-mana…
 Siapakah yang menguasai dunia perniagaan rantau ini?
Kedai dan tokoh siapakah yang terserlah di seluruh pekan dan bandar-bandar sehingga dikatakan ekonomi negara akan lumpuh jika bangsa bukan Melayu berhenti berniaga walaupun sehari. Apakah yang telah berlaku sehingga semua ini terjadi?
Di sini, biar diulang sedikit apa yang telah dipaparkan dalam segmen “Laksamana pulang ke Perak” sebelum ini:

Sejak tahun 1877 menyaksikan para peneraju utama kepimpinan negeri Perak dibunuh atau dibuang negeri, tinggallah negeri yang mewarisi benih keSultanan Melaka itu terumbang-ambing dihimpit kekuasaan British berserta kemasukan beramai-ramai kaum lain yang bakal membentuk demografi negara Malaysia moden nanti.

Mungkin ramai tidak tahu, sejak itu, Perak sebenarnya diperintah British atas nama Sultan Abdullah sedangkan si Sultan pula terkapai-kapai jauh di negeri orang… Gantinya cuma Raja Yusuf yang bergelar Raja Muda, maka Perak sebenarnya tidak beraja sampailah 10 tahun kemudian apabila Raja Yusuf ditabalkan sebagai Sultan Yusuf Sharifuddin, Sultan Perak ke 27 pada 11 May 1887. Itupun sang Sultan sempat bertakhta tidak sampai 3 bulan, sebelum mangkat 26 Julai tahun yang sama.


Maka tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyekat apa-apa program British untuk membentuk Perak mengikut acuan mereka, samada dengan menghilangkan kesan-kesan kegemilangan bandar Melayu mahupun dengan mendirikan bandar-bandar baru yang bakal diterajui bangsa asing yang dibawa beramai-ramai ke Perak.


Baki kerabat diraja dan pembesar nampaknya terpaksa mengalah dan angguk bersetuju dengan apa-apa program British. Sejarah membuktikan Perak adalah negeri pertama di Tanah Melayu yang “dirombak” penjajah dalam proses “modernisasi”nya sebelum polisi yang sama dikembangkan ke atas negeri-negeri lain di Semenanjung.

Dalam menangani persoalan apakah yang terjadi kepada bandar-bandar Melayu sehingga kisahnya langsung pupus daripada sejarah rasmi, penulis telah mendapat gerak ilham daripada arah tidak disangka. Sejak 5 tahun kebelakangan, penulis suka mengkaji cerita-cerita lama berkaitan salasilah keluarga. Maka 3 tahun lalu, seorang bapa saudara telah menyarankan supaya menziarahi makam seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Ahmad.

Penulis tidak mengendahkan saranan ini kerana sebelum itu menganggap Raja Ahmad tidak termasuk di dalam lingkungan keluarga terdekat. Tetapi entah kenapa, sebaik sahaja jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin selamat disemadikan di makam diraja Perak di Bukit Chandan, timbul rasa serta gerak hati yang sangat kuat untuk menziarahi makamnya.

Oh… Siapakah Raja Ahmad? Sila baca artikel berkenaan. Di sini penulis sekadar ingin mengulangi sedikit pengalaman mencari makam sehingga terjumpa sebuah kampung tinggal. Di situlah terdapat petunjuk bagaimanakah sejarah Melayu telah diubah supaya kita dipinggirkan daripada kekuasaan ekonomi tanah-air sendiri. Maka jadilah sesetengah anak bangsa seperti melukut di tepi gantang sampai ke hari ini.

MENCARI MAKAM RAJA AHMAD.

Satu petang di Teluk Intan lebih 3 hari setelah jenazah Laksamana selesai kembali ke Perak. Penulis telah menziarahi makam Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad I (memerintah 1851-1857) di satu sudut bandar kemudian berehat di kawasan warung perbandaran sambil menumpang signal Internet percuma di sana… Terleka melayari dunia Cyber sehingga tertinggal bas terakhir ke Kampung Gajah.

Lalu tidak ada pilihan lagi jika mahu menziarahi makam Raja Ahmad yang terletak dalam perjalanan ke sana kecuali menyewa teksi dan membayar lebih. Ternyata ada hikmahnya kerana bapa saudara setakat memberitahu makam itu terletak sekitar Matang Pelanduk sedangkan apabila ditanya penduduk sana, rupa-rupanya ia terletak berbatu-batu lagi ke hadapan. Kalau naik bas tadi, mungkin terpaksa berjalan kaki jauh atau menunggu lebih sejam lagi untuk mendapatkan bas seterusnya. Inilah masalah tidak memiliki kenderaan sendiri sejak motor besar kesayangan tersadai 2 tahun lepas.

Sampai di sekitar Teluk Memali, kelihatanlah papan-tanda menyatakan arah ke beberapa makam kerabat diraja Perak termasuk makam Raja Ahmad. Teksi pun menghala masuk ke jalan yang semakin sempit, tamat jalan bertar, tinggal jalan tanah merah… Itupun tersilap mengambil selekoh sehingga sampai ke sebuah empangan kecil, terpaksa berpatah balik agak jauh juga sebelum sampai ke simpang tiga berhadapan Sungai Perak.

Hari sudah senja dan pemandu teksi tidak dapat menyembunyikan rasa gelisah. Manakan tidak, disuruh masuk ke kawasan sebegini sunyi tempat jin bertendang pada waktu begini. Untuk menyedapkan hatinya, penulis terpaksa memberi bayaran tambahan RM10 lagi atas tambang yang telah dijanjikan lebih awal. Itupun katanya dia cuma sanggup menghantar sampai ke simpang tiga itu sahaja.

Penulis faham dan akur. Tidak ramai manusia sanggup masuk ke berbatu ke dalam kawasan belukar bercampur ladang kelapa sawit ketika matahari mula menghilang. Sudah dihantar sampai ke sini pun syukurlah, biarlah penulis berjalan kaki seorang diri untuk mencari makam yang ingin diziarahi.

Teksi bergegas meninggalkan simpang tiga, nampak agak panik pun ada. Berpandukan gerak hati kerana tiada pihak yang boleh memberi petunjuk, penulis mula menyusur simpang ke kanan yang juga menghala ke utara. Tidak lama kemudian, terjumpa sebuah masjid atau surau tinggal dengan ukiran seni lama yang sangat indah. Berpandukan pengalaman lepas berkelana ke sana ke mari menziarahi bangunan lama, masjid ini boleh dianggarkan berumur tidak kurang 80 tahun, tidak mustahil lebih 100 tahun.

Kalau diikutkan minat, mahu sahaja bermalam di sana tetapi lupa membawa bekalan makanan sedangkan perut telah mula berkeroncong. Penulis pun meneruskan perjalanan lalu terjumpa makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (memerintah 1806-1825). Kemudian sampai ke kubur J.W.W. Birch dan ketika itu juga kedengaran azan Maghrib berkumandang, mungkin daripada masjid berdekatan jalan besar?

Dipendekkan cerita, penulis terpaksa berjalan kaki lebih setengah jam lagi sebelum dapat menumpang sebuah lori kelapa sawit untuk keluar daripada kawasan tidak berpenghuni itu. Ketika itu sudah masuk jam 8.30 malam, maka terpaksalah menunggu keesokan hari untuk menziarahi tempat yang sebenarnya ingin dituju.

Semasa menghampiri simpang ke jalan besar barulah sedar, rupanya makam Raja Ahmad terletak cuma 400 meter sahaja ke dalam… Jika penulis masuk melalui simpang di Pulau Besar yang terletak beberapa kilometer di hadapan simpang Teluk Memali!

Bandar Melayu yang hilang.
Ternyata ada hikmah kenapa perlu melalui jalan jauh yang masuk daripada Teluk Memali. Paling nyata, jika terjumpa terus makam Raja Ahmad, kemungkinan besar sampai bila-bila pun penulis tidak akan sampai ke masjid atau surau lama dengan ukiran seni lama yang sangat indah serta makam Sultan Abdul Malik dan kubur J.W.W. Birch yang letaknya terpencil di dalam.

Paling istimewa, dalam perjalanan inilah timbul cetusan ilham memberi petunjuk akan apa yang terjadi kepada bandar-bandar Melayu sehingga hilang ceritanya lalu digantikan bandar-bandar moden yang diterajui bangsa lain. Beberapa buah rumah kayu buruk tinggal di celah belukar serta ladang kelapa sawit sepanjang perjalanan menunjukkan kawasan itu pernah menjadi sebuah penempatan sederhana besar.

Kewujudan masjid atau surau lama yang sebegitu indah pula menyatakan sebelum itupun telah ada penempatan pesat di situ yang berumur tidak kurang daripada 80 tahun. Ditambah makam Sultan ke 19 Perak yang terletak lebih kurang 300 meter daripada masjid serta kubur J.W.W. Birch lagi 300 meter ke hadapan, terbukti kawasan yang tinggal terpencil tidak berpenghuni itu bukan sahaja sebuah penempatan ramai malah sebuah bandar besar lagi pesat 130 tahun ke atas! Lalu kenapa ia boleh tinggal sebegini daif?

Tulisan pada papan-tanda di makam Sultan Abdul Malik menunjukkan kawasan itu dijadikan tempat bersemayam serta ibunegeri Perak sejak baginda memerintah 1806 dan dikenali sebagai Bandar Baru. Mengikut adat struktur binaan istana Melayu dan sekelilingnya, sudah tentu pernah wujud bangunan istana dengan kota berlapis yang mempunyai masjid negeri serta makam diraja di sisi, diikuti perkampungan para pembesar dan pengikut mereka yang diselang-seli kawasan pasar, kedai serta pelbagai jenis perniagaan yang diterajui bangsa Melayu.

Catatan jurnal pegawai-pegawai British zaman penjajahan seperti catatan peribadi Frank Swettenham juga ada menyatakan akan peri kepentingan serta kedudukan Bandar Baru dalam struktur pentadbiran Perak. Maka itu J.W.W. Birch telah mendirikan pusat pentadbiran British di situ setelah termetri Perjanjian Pangkor 1874 dan maka itu jugalah mayatnya berserta mayat beberapa pegawai British yang terkorban akibat kemarahan orang Melayu tahun 1877 ditanam di kawasan itu juga walaupun mereka terbunuh di Pasir Salak yang terletak menyeberangi Sungai Perak.

Sekarang fikirkan… Tempat ini diberi nama Bandar Baru sekurang-kurangnya tahun 1806. Mengikut cerita orang lama, ia diberi nama itu kerana di sekitar kawasan selatan Pasir Salak, pernah wujud sebuah penempatan besar yang dikenali sebagai Bandar… Atau Bandar Tua (selepas Bandar Baru wujud). Ada pula cerita lisan menyebut Bandar Tua itu dipelopori pengikut Sultanah Aceh sejak abad ke 17 lagi! Maka di sini terletak lagi satu cerita tersembunyi tentang pengaruh kuat Aceh terhadap Perak. Yang nyata, memang terdapat bandar-bandar Melayu yang besar di kawasan itu.

Penulis telah mengembara hampir seluruh pelusuk tanah-air untuk mengkaji cerita-cerita lama daripada sudut tersendiri lalu mendapati kebanyakan makam diraja terutama di Perak sendiri (yang ada 30 makam Sultan di merata lokasi!) terletak di dalam kawasan terpencil seperti belukar serta estet getah dan kelapa sawit. Pening juga kepala memikirkan, kenapa pula raja-raja disemadikan di dalam tempat-tempat jin bertendang. Apakah tabiat Raja-raja Melayu suka dimakamkan di dalam hutan?

Ketika memikirkan semua ini sekonyong-konyong terbitlah jawaban… Tidak… Raja-raja Melayu dahulukala bukanlah orang hutan yang sengaja mahu dimakamkan di tempat terpencil. Kecuali kerabat diraja yang lari membawa diri, mereka sebenarnya dimakamkan DI DALAM BANDAR MELAYU seperti di Bandar Baru, tidak jauh daripada kawasan istana dan masjid negeri. Tetapi British yang mula menunjukkan taring penuh sejak menghukum bunuh atau membuang para pemimpin Melayu Perak 1877 berjaya menghilangkan cerita ini… Caranya, bakar dan hancurkan bandar-bandar Melayu seperti yang pernah berlaku di Bandar Baru, Batak Rabit, Kota Setia, Pasir Salak dan beberapa lagi bandar Melayu ketika perang orang Melayu dengan British memuncak akibat pembunuhan Birch, penduduknya bertempiaran merempat mencari penempatan baru. Kemudian di atas puing-puing kota Melayu ini, mereka dirikan estet getah atau kelapa sawit, atau tinggalkan ia menjadi hutan belukar… Dengan cara itu, bukti kewujudan bandar-bandar Melayu dapat dikuburkan. Tinggallah sedikit kesan seperti makam-makam raja terperosok jauh di tempat jin bertendang.

Pada masa yang sama, penjajah secara sistematik mendirikan bandar-bandar baru mengikut acuan mereka, diterajui bangsa-bangsa bukan Melayu, diwar-warkan seantero dunia agar menjadi identiti tanah-air ini… Sistem yang sama juga dilakukan di setiap negeri Melayu yang berjaya dikuasai mereka. Lalu kekallah ciri-ciri ini dan sampai sekarang orang Melayu jadi keliru akan kekuatan serta asal-usul bangsa sendiri.

Siapakah Raja Ahmad….

Salasilah rasmi keSultanan Perak mencatatkan Raja Ahmad sebagai anakanda kepada Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah ibni Sultan Ahmaddin Shah. Baginda dikatakan telah berkahwin dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che’ Puan Busu, anak seorang Raja Bugis daripada Lingga bernama Daeng Masiah.

Menurut ceritanya, daripada perkahwinan ini terbitlah Sultan Jaafar yang menjadi Sultan ke 23 Perak (memerintah 1857-1865). Sultan Jaafar ialah ayahanda kepada Sultan Abdullah Muhammad II (Sultan ke 26, memerintah 1874-1877), raja yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor.

Seorang lagi anakanda Raja Ahmad ialah Raja Bendahara Alang Iskandar, ayahanda kepada Sultan Idris I yang membuka Bukit Chandan tahun 1880an. Sultan Idris ialah bapa kepada Sultan Abdul Jalil, datuk kepada Sultan Perak sekarang Sultan Azlan Shah (Sultan ke 34, ditabalkan 1984). Sultan Idris I juga adalah datuk kepada Sultan Idris II ibni almarhum Sultan Alang Iskandar, Sultan ke 33 Perak. Maka itu, Raja Ahmad yang hidup pertengahan abad ke 19 adalah moyang kepada Sultan dan setiap kerabat diraja Perak terdekat dalam abad kebelakangan.

Adapun salasilah lain menyebut Raja Ahmad bukanlah anak kandung Sultan Abdul Malik malah adalah menantu baginda. Ada pula cerita menyambung, baginda adalah seorang anak raja daripada Daik. Cerita lain pula menyebut baginda asalnya cuma seorang pahlawan sahaja tetapi diangkat menjadi kerabat diraja atas jasa kepada raja di samping mengahwini puteri raja. Jadi siapakah sebenarnya Raja Ahmad?

Penulis mula tertarik untuk menziarahi makamnya beberapa hari setelah jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin selamat disemadikan kembali ke makam diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006, selepas diingatkan lagi oleh seorang bapa saudara dan kerana makam itu kononnya dijaga oleh seekor harimau yang untut satu kaki, dikenali sebagai Harimau Tepok. Mengikut cerita lisan tempatan, Harimau Tepok juga menjaga makam watak legenda yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor di Teluk Intan. Dan Keramat Kuala Bidor pula berkait dengan Nakhoda Hitam, Laksamana Raja Mahkota pertama yang hidup pertengahan abad ke 18. Gerak hati mengatakan ada kaitan antara semua watak ini tetapi tidak pasti bagaimana lalu apabila tidak dapat lagi membendung rasa, penulis pun sampai ke situ.

Sejarah rasmi Perak menyatakan Raja Ahmad pernah memegang jawatan Raja Kecil Tengah, Raja diHilir kemudian Sultan Muda. Ada pula yang memanggil baginda dengan gelaran Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat Khalifatullah, tetapi papan tanda di makam yang dibina pihak berkuasa setakat menyatakan baginda sebagai Raja Kecil Tengah yang agak jauh kedudukannya daripada takhta.Mengapa timbul percanggahan ini? Apakah ada cerita lama yang ingin disembunyikan?

Baginda dikatakan mati terjatuh di Kuala Sungai Terus lalu jenazahnya tidak ditemui. Maka itu, makamnya yang terletak di dalam mukim Pulau Besar, Perak itu didirikan sebagai tanda tempatnya hilang, dengan batu peringatan tertulis perkataan “Sultan Ahmad Waliullah.” Mengikut ceritanya, Raja Ahmad adalah penjaga jin kerajaan Perak di Beting Beras Basah, kuala Sungai Perak, tempat terakhir wajib diziarahi setiap Sultan Perak dalam proses pertabalan. Teringat cerita rakyat tempatan menyebut Beting Beras Basah dijaga oleh orang ghaib yang dikenali sebagai Haji Ahmad Dewa. Ada pula kisah menyebut Ahmad Dewa, Keramat Kuala Bidor serta Nakhoda Hitam adalah orang yang sama. Jadi siapakan sebenarnya Raja Ahmad? Apakah kaitan baginda dengan keluarga Laksamana Raja Mahkota?

Yang pasti memang ada kaitan yang nyata. Sultan Abdul Malik Mansur Shah (yang menurut salasilah rasmi adalah bapa Raja Ahmad, mengikut cerita lain bapa mertua) adalah anak Sultan Ahmaddin Shah, Sultan ke 18 Perak dengan puteri seorang Laksamana. Dan Raja Ahmad hilang di Sungai Terus yang merupakan sempadan utara tanah jajahan di bawah kuasa Laksamana…

(Merah-Silu/Berbagai-Sumber-Sejarah/ABNS)
Share this post :

Post a Comment

mohon gunakan email

Terkait Berita: