Pesan Rahbar

Home » » Shalawat Kepada Nabi (Bagian Ketiga)

Shalawat Kepada Nabi (Bagian Ketiga)

Written By Unknown on Friday 8 January 2016 | 22:28:00


Allahumma Salli 'Ala Muhammad wa Ali Muhammad

Mengapa Memilih Ahlul - Bait Dan Hadith-hadith yang menghadkan pengganti Nabi SAW kepada dua belas orang.

Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, ‘Barangsiapa yang meninggal tanpa mengenali imam zamannya, matinya ia seperti orang yang mati selama masa jahiliah (zaman sebelum Islam).’

Hadith-hadith yang menghadkan pengganti-pengganti Nabi SAW kepada dua belas orang, telah diriwayatkan oleh jumhur ulama Muslimin di dalam Sahih-sahih dan Musnad-musnad mereka.

Ahmad bin Hanbal di dalam Musnad1nya meriwayatkan hadith ini daripada Sya'bi daripada Masruq berkata:"Kami berada di sisi 'Abdullah bin Mas'ud yang sedang memperdengarkan bacaan al-Qur'an kepada kami. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepadanya: Wahai Abu 'Abdu r-Rahman! Adakah anda telah bertanya Rasulullah SAW berapakah ummat ini memiliki khalifah?" Abdullah bin Mas'ud menjawab:"Tiada seorangpun bertanya kepadaku mengenainya semenjak aku datang ke Iraq sebelum anda." Kemudian dia berkata:"Ya! Sesungguhnya kami telah bertanya kepada RasulullahSAW mengenainya. Maka beliau menjawab:"Dua belas (khalifah) seperti bilangan naqib Bani Israil."

Di dalam riwayat yang lain Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah, sesungguhnya dia berkata:"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda semasa Haji Wida':"Urusan agama ini masih pada zahirnya di tangan penentangannya dan tidak akan dihancurkan oleh orang-orang yang menyalahinya sehingga berlalunya dua belas Amir, semuanya daripada Quraisy2."

Muslim di dalam Sahih3nya meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah sesungguhnya dia berkata:"Aku bersama bapaku berjumpa Nabi SAW, Maka aku mendengar Nabi SAW bersabda:"Urusan 'ini' tidak akan selesai sehingga berlaku pada mereka dua belas khalifah." Dia berkata: Kemudian beliau bercakap dengan perlahan kepadaku. Akupun bertanya bapaku apakah yang diucapkan oleh beliau? Dia menjawab:"Semuanya daripada Quraisy."

Muslim juga meriwayatkan di dalam Sahih4nya daripada Nabi SAW beliau bersabda:"Ugama sentiasa teguh sehingga hari kiamat dan dua belas khalifah memimpin mereka, semuanya daripada Quraisy. Di dalam riwayat yang lain "Urusan manusia berlalu dengan perlantikan dua belas lelaki dari Quraisy5," "Sentiasa Islam itu kuat sehingga kepada dua belas khalifah daripada Quraisy6" dan "Sentiasa ugama ini kuat dan kukuh sehingga dua belas khalifah daripada Quraisy7"

Al-Turmudzi di dalam al-Sunan8nya mencatat hadith tersebut dengan lafaz amir bukan khalifah.
Sementara al-Bukhari di dalam Sahih9nya meriwayatkannya daripada Jabir bin Samurah bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku ialah dua belas amir." Maka beliau berucap dengan perkataan yang aku tidak mendengarnya. Bapaku memberitahuku bahawa beliau bersabda:"Semuanya daripada Quraisy."
Al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-Ummal10, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku akan (diikuti) oleh dua belas khalifah."

Ibn Hajr di dalam al-Sawa'iq al-Muhriqah11 meriwayatkan daripada Jabir bin Samurah bahawa Nabi SAW bersabda:"Selepasku akan (dikuti) dua belas amir semuanya daripada Quraisy."

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah12 mencatat riwayat daripada Jabir bin Samurah sesungguhnya dia berkata:"Aku bersama bapaku di sisi Nabi SAW beliau bersabda:"Selepasku dua belas khalifah." Kemudian beliau merendahkan suaranya. Maka akupun bertanya bapaku mengenainya. Dia menjawab: Beliau bersabda:"Semuanya daripada Bani Hasyim."

Samak bin Harb juga meriwayatkannya dengan lafaz yang sama. Diriwayatkan daripada al-Sya'bi daripada Masruq daripada Ibn Mas'ud bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah menjanjikan kita bahawa selepasnya dua belas khalifah sama dengan bilangan naqib Bani Isra'il. Dan dia berkata di dalam bab yang sama bahawa Yahya bin al-Hasan telah menyebutkannya di dalam Kitab al-Umdah dengan dua puluh riwayat bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAW adalah dua belas orang. Semuanya daripada Quraisy. Al-Bukhari telah menyebutkannya dengan tiga riwayat, Muslim sembilan riwayat. Abu Daud tiga riwayat, al-Turmudhi satu riwayat dan al-Humaidi tiga riwayat.

Pengkaji-pengkaji menegaskan bahawa hadith-hadith tersebut menunjukkan bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAW ialah dua belas orang. Dan maksud hadith Nabi SAW ialah dua belas orang daripada Ahlu l-Baitnya. Kerana tidak mungkin dikaitkan hadith ini kepada khalifah-khalifah yang terdiri daripada bilangan mereka kurang daripada dua belas orang. Dan tidak mungkin dikaitkan dengan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah kerana bilangan mereka melebihi dua belas orang dan kezaliman mereka yang ketara selain daripada 'Umar bin Abdu l-Aziz. Tambahan pula mereka bukan daripada Bani Hasyim. Di dalam riwayat yang lain beliau memilih Bani Hasyim di kalangan Quraisy dan memilih Ahlu l-Baitnya di kalangan Bani Hasyim13.

Di dalam riwayat 'Abdu l-Malik daripada Jabir bahawa Nabi SAW telah merendahkan suaranya ketika menyebutkan Bani Hasyim kerana 'mereka' tidak menyukai Bani Hasyim. Hadith ini juga tidak boleh dikaitkan dengan khalifah-khalifah Bani 'Abbas kerana bilangan mereka melebihi bilangan tersebut. Dan mereka tidak mengambil berat tentang firmanNya "Katakan!" Aku tidak meminta upah daripada kamu kecuali mencintai keluargaku," sebagaimana juga mereka tidak menghormati hadith al-Kisa'. Justeru itu, hadith tersebut mestilah dikaitkan dengan dua belas Ahlu l-Baitnya kerana merekalah orang yang paling alim, warak, takwa, paling tinggi keturunan dan ilmu-ilmu mereka adalah daripada datuk-datuk mereka yang berhubungkait dengan datuk mereka Rasulullah SAW dari segi warisan dan hikmah. Mereka pula dikenali oleh para ilmuan. Oleh itu apa yang dimaksudkan oleh hadith tersebut ialah dua belas Ahlu l-Bait Rasulullah SAW14. Ianya diperkuatkan oleh hadith thaqalain, hadith al-Safinah, hadith al-Manzilah dan lain-lain.
Al-Qunduzi al-Hanafi15 juga telah meriwayatkan hadith daripada Jabir dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:"Akulah penghulu para Nabi dan 'Ali adalah penghulu para wasi. Dan sesungguhnya para wasi selepasku ialah dua belas orang, pertama 'Ali dan yang akhirnya Qaim al-Mahdi."

Hadith-hadith yang menerangkan bahawa merekalah para wasi Rasulullah SAW di dalam buku-buku Ahlu l-Sunnah adalah banyak, dan ianya melebihi had mutawatir. Umpamanya hadith daripada Salman RD berkata: Aku berjumpa Nabi SAW dan Husain berada di atas dua pahanya. Nabi SAW sedang mengucup dahinya sambil berkata:'Anda adalah Sayyid bin Sayyid dan adik Sayyid. Anda adalah imam bin imam dan adik imam. Anda adalah Hujjah bin Hujjah dan adik Hujjah dan bapa hujjah-hujjah yang sembilan. Dan yang kesembilan mereka ialah Mahdi al-Muntazar."

Al-Hamawaini al-Syafi'i di dalam Fara'id al-Simtin16, meriwayatkan daripada 'Ibn Abbas berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Aku , Ali, Hasan, Husain dan sembilan daripada anak-anak Husain adalah disuci dan dimaksumkan."

Ibn 'Abbas juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:"Wasi-wasiku, hujjah-hujjah Allah ke atas makhlukNya dua belas orang, pertamanya saudaraku dan akhirnya ialah anak lelakiku (waladi)." Lalu ditanya Rasulullah siapakah saudara anda wahai Rasulullah? Beliau menjawab:'Ali. Dan ditanya lagi siapakah anak lelaki anda? Beliau menjawab: al-Mahdi yang akan memenuhi bumi ini dengan kejujuran dan keadilan sebagaimana ianya dipenuhi dengan kerosakan dan kezaliman. Demi Tuhan yang mengutusku dengan kebenaran sebagai kegembiraan dan peringatan, sekiranya dunia ini tinggal hanya satu hari lagi nescaya Allah akan memanjangkannya sehingga keluar anak lelakiku al-Mahdi. Kemudian diikuti oleh 'Isa bin Maryam. Beliau akan mengerjakan solat di belakang anak lelakiku. Dunia pada ketika itu berseri dengan cahaya Tuhannya dan pemerintahannya meliputi Timur dan Barat.

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah17 bab 95 meriwayatkan bahawa Jabir bin 'Abdullah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wahai Jabir! Sesungguhnya para wasiku dan para imam selepasku pertamanya 'Ali kemudian Hasan kemudian Husain kemudian 'Ali bin Husain kemudian Muhammad bin 'Ali al-Baqir. Anda akan menemuinya wahai Jabir sekiranya anda mendapatinya, maka sampailah salamku kepadanya. Kemudian Ja'far bin Muhammad, kemudian Musa bin Ja'far, kemudian 'Ali bin Musa, kemudian Muhammad bin 'Ali, kemudian 'Ali bin Muhammad, kemudian Hasan bin 'Ali. Kemudian al-Qa'im namanya sama dengan namaku dan kunyahnya sama dengan kunyahku, anak Hasan bin 'Ali. Dengan beliaulah Allah akan 'membuka' seluruh pelusuk bumi di Timur dan di Barat, dialah yang ghaib dari penglihatan. Tidak akan percaya kepada imamahnya melainkan orang yang telah diuji hatinya oleh Allah SWT. Jabir berkata: Wahai Rasulullah! Adakah orang ramai boleh mengambil faedah darinya ketika ghaibnya? Beliau menjawab:"Ya! Demi yang mengutuskan aku dengan kenabian sesungguhnya mereka mengambil cahaya daripada wilayahnya ketika ghaibnya, seperti orang mengambil faedah dari matahari sekalipun ianya ditutupi awan." Ini adalah di antara rahsia-rahsia ilmu Allah yang tersembunyi. Justeru itu rahsiakanlah mengenainya melain kepada orang yang ahli.

Di dalam Yanabi' al-Mawaddah18 bab 76 daripada Jabir al-Ansari berkata: Junda bin Janadah berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya kepada beliau beberapa masalah. Kemudian dia berkata: Beritahukan kepadaku wahai Rasulullah tentang wasi-wasi anda selepas anda supaya aku berpegang kepada mereka. Beliau menjawab: Wasi-wasiku dua belas orang. Lalu Jundal berkata: Begitulah kami dapati di dalam Taurat. Kemudian dia berkata: Namakan mereka kepadaku wahai Rasulullah. Maka beliau menjawab:"Pertamanya penghulu dan bapa kepada wasi-wasi adalah 'Ali. Kemudian dua anak lelakinya Hasan dan Husain. Justeru itu berpeganglah kepada mereka dan janganlah kejahilan orang-orang yang jahil itu memperdayakan anda. Kemudian 'Ali bin Husain Zaina l-Abidin Allah akan mematikan anda ('Ali bin Husain) dan menjadikan air susu sebagai bekalan terakhir di dunia ini."

Jundal berkata: Kami telah mendapatinya di dalam Taurat dan di dalam buku-buku para Nabi AS seperti Iliya, Syibra dan Syabir. Maka ini adalah nama 'Ali, Hasan dan Husain, maka imam selepasnya dipanggil Zaina l-Abidin selepasnya anak lelakinya Muhammad, dipanggil al-Baqir. Selepasnya anak lelakinya Ja'far dipanggil al-Sadiq. Selepasnya anak lelakinya Musa dipanggil al-Kazim. Selepasnya anak lelakinya 'Ali dipanggil al-Ridha. Selepasnya anak lelakinya 'Ali dipanggil al-Naqiyy al-Hadi. Selepasnya anak lelakinya Hasan dipanggil al-Askari. Selepasnya anak lelakinya Muhammad dipanggil al-Mahdi al-Qa'im dan al-Hujjah. Beliau ghaib dan akan keluar memenuhi bumi dengan kejujuran dan keadilan sebagaimana ianya dipenuhi dengan kefasadan dan kezaliman. Alangkah beruntungnya bagi orang-orang yang bersabar semasa ghaibnya. Dan alangkah beruntungnya bagi orang-orang yang bertaqwa terhadap Hujjah mereka. Dan mereka itulah orang yang disifatkan oleh Allah di dalam firmanNya (Surah al-Baqarah(2): 2-3"Petunjuk bagi mereka yang bertaqwa iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib." Kemudian beliau membaca (Surah al-Mai'dah(5):56)"Sesungguhnya parti Allahlah yang pasti menang."Beliau bersabda: Mereka itu adalah daripada parti Allah (hizbullah).

Al-Hamawaini di dalam Fara'id al-Simtin19 telah meriwayatkan hadith ini dan dinukilkan oleh al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah bab 76 dengan sanad daripada Ibn 'Abbas dia berkata: Seorang Yahudi bernama Na'thal datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Muhammad! Aku akan bertanya anda beberapa perkara yang tidak menyenangkan hatiku seketika. Sekiranya anda dapat memberi jawapan kepadaku nescaya aku akan memeluk Islam di tangan anda. Beliau SAW bersabda:"Tanyalah wahai Abu 'Ammarah.' Dia bertanya beberapa perkara sehingga dia berkata: Beritahukan kepadaku tentang wasi anda siapa dia? Tidak ada seorang Nabi melainkan ada baginya seorang wasi. Dan sesungguhnya Nabi kami Musa bin 'Imran telah berwasiatkan kepada Yusyu' bin Nun. Maka Nabi SAW menjawab"Sesungguhnya wasiku ialah 'Ali bin Abi Talib, selepasnya dua anak lelakinya Hasan dan Husain kemudian diikuti oleh sembilan imam daripada keturunan Husain.' Dia berkata: Namakan mereka kepadaku. Beliau menjawab:'Apabila wafatnya Husain, maka anaknya 'Ali apabila wafatnya 'Ali, anaknya Muhammad, Dan apabila wafatnya Muhammad, anaknya Ja'far. Apabila wafatnya Ja'far anaknya Musa. Apabila wafatnya Musa, anaknya Ali. Apabila wafatnya Ali, anaknya Muhammad. Apabila wafatnya Muhammad, anaknya 'Ali. Apabila wafatnya 'Ali anaknya Hasan. Apabila wafatnya Hasan, anaknya Muhammad al-Mahdi. Mereka semua dua belas orang....."Akhirnya lelaki Yahudi tadi memeluk Islam dan menceritakan bahawa nama-nama para imam dua belas telah tertulis di dalam buku-buku para Nabi yang terdahulu, dan ia termasuk di antara apa yang telah dijanjikan oleh Musa AS.

Muwaffaq bin Ahmad al-Hanafi di dalam Manaqibnya meriwayatkan daripada Salman daripada Nabi SAW, sesungguhnya beliau bersabda kepada Husain:"Andalah imam anak lelaki seorang imam, saudara kepada imam, bapa kepada sembilan imam. Dan yang kesembilan daripada mereka ialah Qaim mereka (al-Mahdi AS).

Begitulah juga Syahabuddin al-Hindi di dalam Manaqibnya telah menerangkan sanadnya daripada Nabi SAW bahawa beliau bersabda:"Sembilan imam adalah daripada anak cucu (keturunan) Husain bin 'Ali dan yang kesembilan mereka adalah Qaim mereka (imam al-Mahdi al-Muntazar AS).

Catatan Kaki:
1. al-Musnad, I, hlm 398
2. al-Musnad, I, hlm 406, dan V, hlm 89
3. Sahih, II, hlm 79
4. Ibid.
5. Ibid.
6. Ibid.
7. Ibid.
8. al-sunan, II, hlm 110
9. Sahih, IV, hlm 120 (Kitab al-Ahkam)
10. Kanz al-Ummal, VI, hlm 160
11. al-Sawa'iq al-Muhriqah, bab XI
12. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 444 (bab 7)
13. Muslim, Sahih, II, hlm 81 (Fadhl Ahlu l-Bait)
14. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 445
15. Ibid.
16. Fara'id al-Simtin, II, hlm 26
17. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 494
18. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 441 - 444
19. Yanabi' al-Mawaddah, hlm 446 - 447

(Islam-Muhammadi/ABNS)
Share this post :

Post a Comment

mohon gunakan email

Terkait Berita: