Pesan Rahbar

Home » » Syiah dan Al-Quran (4)

Syiah dan Al-Quran (4)

Written By Unknown on Friday 22 April 2016 | 17:37:00


Syi'ah dan al-Qur'an - Ayat al-Muwaddah

Iaitu firmanNya dalam (Surah al-Syu'ara (42): 23):"Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan (al-qurba). Dan siapa yang mengerjakan kebaikan (al-Hasanah) akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri."

Ahli Tafsir Syi'ah bersepakat bahawa ayat tersebut diturunkan secara khusus kepada Ahlu l-Bait; 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Demikian juga kebanyakan Ahli Tafsir Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah di dalam buku-buku Sahih dan Musnad mereka mengakui bahawa ayat tersebut diturunkan kepada 'itrah yang suci. Tetapi terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang membuat pentafsiran yang menyalahi apa yang diturunkan Allah SWT.

Ahlu l-Bait AS dan para ulama Syi'ah bersepakat bahawa perkataaan al-Qur'ba di dalam ayat tersebut ialah kerabat Rasulullah SAW; 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Merekalah orang yang paling rapat dengan Rasulullah SAW. Dan perkataan al-Hasanah (kebaikan) bererti kasih sayang kepada mereka dan menjadikan mereka imam, kerana Allah amat mengampuni orang yang mewalikan mereka.

Dan ini adalah satu perkara yang disepakati oleh kami kerana ianya merupakan suatu kepastian kerana banyak hadith-hadith muktabar mengenainya. Kami akan kemukakan kepada pembaca kami yang budiman beberapa hadith yang muktabar menurut Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah seperti berikut:

Ahmad bin Hanbal telah meriwayatkan di dalam Manaqib, al-Tabrani, al-Hakim dan Ibn Abi Hatim daripada 'Abbas sebagaimana telah diriwayatkan oleh Ibn Hajr di dalam pentafsiran ayat 14 daripada ayat-ayat yang telah dinyatakan di dalam fasal pertama daripada bab sebelas daripada al-Sawa'iqnya dia berkata: Manakala turunnya ayat ini mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau SAW menjawab: 'Ali, Fatimah dan dua anak lelaki mereka berdua.

Hadith ini juga telah dicatatkan oleh Ibn Mardawaih, diriwayatkan daripada Ibn 'Abbas oleh Ibn Mundhir, al-Muqrizi, al-Baghawi, al-Tha'labi di dalam tafsir-tafsir mereka. Al-Suyuti di dalam Durr al-Manthur, Abu Nu'aim di dalam Hilyahnya, al-Hamawaini di dalam al-Fara'id, al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul dan Ibn Maghazili di dalam al-Manaqib, al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf, Muhibbuddin al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-'Uqba, Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib Su'ul, Abu Sa'id di dalam Tafsirnya, al-Nasafi di dalam Tafsirnya, Abu Hayyan di dalam Tafsirnya, Ibn Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah, al-Hafiz al-Haithami di dalam al-Majma', al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib.

Al-Qastalani di dalam al-Mawahib, berkata: Allah memastikan kasih sayang kepada semua kerabat Rasulullah SAW dan mewajibkan kasih sayang sebahagian daripada Ahlu l-Baitnya AS dan zuriatnya. Justeru itu Dia berfirman dalam (Surah al-Syura'(42):23)....."Katakanlah: Aku tidak meminta upahmu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan." al-Zurqani di dalam Syarh al-Mawahib, al-Syablanji di dalam Nur al-Absar, Ibn Hajr di dalam Sawa'iq al-Muhriqah, al-Suyuti di dalam 'Ihya al-Mayyit di Hamisy al-Ithaf.

Al-Bukhari di dalam Sahihnya daripada Ibn 'Abbas RD bahawa dia ditanya mengenai firmanNya:..."kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan." Dia menjawab: Ianya adalah kerabat Rasulullah SAW. Al-Tabari di dalam Tafsirnya, daripada Sa'id bin Jubair tentang firmanNya, Surah al-Syura'(42):23)....."Katakanlah: Aku tidak meminta upahmu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan." Dia menjawab: Ianya adalah kerabat Rasulullah SAW.

Ibn Hajr al-'Asqalani di dalam al-Kafi al-Syafi fi Takhrij Ahadith al-Kasysyaf, berkata: al-Tabrani, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim telah meriwayatkannya di dalam Manaqib al-Syafi'i daripada Husayn Asyqar daripada Qais bin al-Rabi' daripada A'masy daripada Sa'id bin Jubair daripada Ibn 'Abbas ditanya: Wahai Rasulullah! Siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab:'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah, berkata: Ahmad telah meriwayatkan di dalam Musnadnya dengan sanadnya daripda Sa'id bin Jubair daripada Ibn 'Abbas RD bahawa ayat ini diturunkan kepada lima orang. Al-Tabrani di dalam Mu'jam al-Kabirnya menyatakan ayat ini diturunkan kepada lima orang.

Ibn Abi Hatim di dalam Tafsirnya dan al-Hakim di dalam al-Manaqibnya menyatakan ayat ini diturunkan kepada lima orang. Al-Wahidi di dalam al-Wasit, Abu Nu'aim di dalam Hilyah al-Auliya', al-Tha'labi di dalam Tafsirnya, al-Hamawaini di dalam Fara'id al-Simtin, Abu Bakar bin Syahabbuddin al-Syafi'i dalam Rasyfah Sadi semuannya meriwayatkan bahawa ayat tersebut di turunkan kepada lima orang.

Al-Mulla di dalam Sirahnya meriwayatkan sebuah hadith:"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kalian kasih sayang terhadap kerabatku dan aku bertanyakan kalian tentang mereka di hari esok." Ahmad di dalam Manaqib dan al-Tabrani di dalam al-Kabir meriwayatkan daripada 'Abbas RD dia berkata: Manakala turunnya ayat ini mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW siapakah kerabat kamu yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab: 'Ali, Fatimah, dan kedua-dua anak lelaki mereka.

Al-Baghawi dan al-Tha'labi meriwayatkan di dalam Tafsir mereka daripada 'Ibn Abbas RD dia berkata: Manakala turunnya ayat (Surah al-Syu'ara'(42):23), sebahagian orang ramai pula berkata: Beliau hanya menghendaki supaya kita mengasihi kerabatnya. Lantas Jibrail memberitahukan Nabi SAW tentang tuduhan mereka. Maka turunlah ayat (Surah al-Syu'ara'(42):24) "Bahkan mereka mengatakan: Dia (Muhammad) telah mengada-adakan dusta terhadap Allah." Maka sebahagian mereka pula berkata: Wahai Rasulullah kami menyaksikan sesungguhnya anda adalah seorang yang benar. Maka turunlah pula (Surah al-Syu'ara'(42):25): "Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Al-Tabrani di dalam al-Ausat dan al-Kabir telah meriwayatkan daripada Abu Tufail sebuah khutbah Hasan AS:Kami daripada Ahlu l-Bait yang telah difardhukan Allah untuk mengasihi mereka dan menjadikan mereka pemimpin. Maka beliau berkata:Di antara apa yang telah diturunkan ke atas Muhammad SAW ialah: Katakanlah:"Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan." Di dalam riwayat yang lain:Kami adalah daripada Ahlu l-Bait yang telah fardhukan Allah ke atas setiap Muslim mengasihi mereka. Maka turunlah ayat (Surah al-Syu'ara(24):23):"Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan." Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri."

Al-Sudi meriwayatkan daripada Ibn 'Abbas mengenai firmanNya:"Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri" dia berkata: al-Muawaddah (cinta) terhadap kerabat keluarga Muhammad SAW.

Al-Hakim di dalam al-Mustadrak dengan membuang sanad-sanadnya daripada 'Umar bin 'Ali daripada bapanya daripada 'Ali bin Husain dia berkata:Hasan bin Ali berpidato ketika pembunuhan 'Ali AS. Beliau memuji Tuhan hingga akhirnya beliau berkata:"Kami adalah daripada Ahlu l-Bait yang dihilangkan kekotoran mereka oleh Allah dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya. Dan kamilah Ahlu l-Bait yang difardhukan Allah ke atas setiap Muslim supaya mengasihi mereka. Maka beliau berkata: Allah berfirman kepada NabiNya: Katakanlah 'Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun....." Al-Dhahabi juga meriwayatkan hadith tersebut di dalam al-Talkhisnya. Al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf berkata: Manakala ayat tersebut diturunkan, ada orang bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab:'Ali, Fatimah, dan kedua-dua anak lelaki mereka.

Dan diriwayatkan daripada 'Ali AS: Aku merayu kepada Rasulullah SAW tentang hasad dengki manusia terhadapku. Maka beliau menjawab: Tidakkah anda meridhai bahawa anda di kalangan empat orang yang pertama akan memasuki syurga? Aku, anda, Hasan dan Husain..... Al-Karimi meriwayatkan daripada 'Aisyah dengan sanadnya daripada 'Ali RD. al-Tabrani meriwayatkannya daripada Abi Rafi' di dalam Takhrij al-kasysyaf daripada Nabi SAWAW: Diharamkan syurga ke atas orang yang menzalimi Ahlu l-Baitku dan menyakitiku pada itrahku. Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh al-Tha'labi di dalam al-Takhrij al-Kasysyat. Al-Khawarizmi di dalam Maqtal al-Husain, Ibn Batriq di dalam al-Umdah daripada Musnad Ahmad dengan membuang beberapa sanad daripada Sa'id bin Jubair daripada Ibn 'Abbas bahawa ayat tersebut telah diturunkan kepada lima orang.

Muhammad bin Talhah al-Syafi'i dalam Matalib al-Su'ul berkata: Merekalah dhawi l-Qurba di dalam ayat tersebut, ianya telah diterangkan dan diperakui oleh perawi-perawi hadith di dalam musnad-musnad mereka daripada Jubair daripada 'Ibn 'Abbas manakala turunnya firmanNya:"Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan. Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri." Mereka bertanya wahai Rasulullah SAW: Siapakah mereka yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau SAW menjawab:'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.

Al-Wahidi dan al-Tha'labi meriwayatkan hadith ini dengan sanadnya al-Tha'labi menyatakan: Ketika Rasulullah SAW melihat kepada 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain beliau bersabda: Aku memerangi orang yang memerangi kalian dan berdamai dengan orang yang berdamai dengan kalian. Al-Hijazi di dalam al-Wadhih berkata: Mereka itu ialah 'Ali, Fatimah kedua-dua anak lelaki mereka berdua. Dia berkata lagi: Pengertian ini telah diriwayatkan oleh Rasulullah SAW yang telah diterangkan oleh Allah SWT.

Al-Kanji al-Syafi'i di dalam Kifayah al-Talib dengan membuang beberapa sanad daripada Jabir bin 'Abdullah, berkata: Seorang badwi datang kepada Nabi SAW dengan berkata: Wahai Muhammad bentangkan ke atasku Islam. Maka dia berkata: Kami naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Dia yang Tunggal tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya Muhammad adalah hambaNya dan pesuruhNya. Dia bertanya: Adakah anda meminta upah dariku ke atasnya? Beliau menjawab: Tidak! Melainkan mengasihi kerabatku. Dia bertanya: Kerabatku atau kerabat anda? Beliau menjawab: Kerabatku. Dia menjawab: Sekarang aku membai'ah anda, dan bagi orang yang tidak mencintai anda dan mencintai kerabat anda, maka laknat Allah ke atas mereka. Maka Nabi SAW bersabda: Amin.....Buatlah rujukan kepada buku-buku hadith karangan Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah, nescaya anda akan mendapati hadith-hadith yang banyak mengenainya.

Ayatullah Mar'asyi al-Najafi di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haqa'iq karangan al-Sa'id al-Syahid Nur Allah al-Tastari, telah mengumpulkan hadith-hadith yang banyak dari rujukan-rujukan Ahlu s-Sunnah dengan menyebutkan perawi-perawi mereka. Begitu juga al-'Allamah al-Amini di dalam al-Ghadir.

Justeru itu rujukan-rujukan Ahlu s-Sunnah sendiri telah mengukuhkan dakwaan Syi'ah kerana terdapat hadith-hadith yang muktabar dan mutawatir tentang hak 'Ali dan keluarganya AS. Sesungguhnya kebenaran terserlah wa l-hamdulillah.

Ringkasnya, dengan ayat ini orang yang menjadi imam dan khalifah selepas Rasulullah SAW secara langsung ialah imam 'Amiru l-Mukmimin 'Ali AS. Kerana ayat tersebut membuktikan bahawa mengasihi 'Ali AS adalah wajib kerana Allah memberikan pahala kepada orang yang mengasihi kerabatnya. Oleh itu jika kesalahan berlaku daripada mereka maka kasih sayang kepada mereka wajib dihentikan kerana firmanNya di dalam (Surah al-Mujadalah(58): 22):"Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya." Dan selain daripada 'Ali AS adalah tidak maksum. Oleh itu, beliaulah imam secara langsung. Ayatullah al-'Uzma al-Syahid al-Nur al-Tastari di dalam buku Ihqaq al-Haqa'iq berkata: Orang-orang Syi'ah mengemukakan dalil-dali tentang keimamahan 'Ali AS terhadap Ahlu s-Sunnah bukanlah suatu perkara yang wajib, malah ianya suatu amalan sukarela kerana Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah telah bersetuju sesama mereka tentang keimamahan 'Ali AS selepas Rasulullah SAW. Tetapi perbezaannya Syi'ah menafikan wasitah sedangkan Ahlu s-Sunnah menetapkannya. Justeru itu ianya dikemukakan oleh orang-orang yang menetapkannya (al-Muthbit) dan bukan orang yang menafikannya sebagaimana telah ditetapkan di dalam kaedah usul fiqh melainkan mereka telah mencari ijmak dengan mengingkari keimamahannya secara mutlak. Lantaran itu Syi'ah wajib mengemukakan dalil. Dan Allah adalah Penunjuk kepada jalan yang benar.

(Ahlulbaytku/berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Post a Comment

mohon gunakan email

Terkait Berita: