Pesan Rahbar

Home » » Ahlul Bait! Sang Pedoman Yang di Zalimi Sunni

Ahlul Bait! Sang Pedoman Yang di Zalimi Sunni

Written By Unknown on Tuesday, 17 March 2015 | 04:06:00


Dengan nama Allah, Solawat kepada Muhammad(sawa) dan Ahlulbait baginda.(as)

Dalam artikel sebelum ini, saya telah tuliskan tentang kekhalifahan Ahlulbait(as) ke atas umat manusia setelah pemergian Nabi. Bersaksilah bahawa hadis-hadis keutamaan Ahlulbait dan ayat-ayat Al Quran yang menyokong Imamah adalah terlampau banyak, dan huraiannya juga panjang serta amat rumit, luar dari kemampuan saya yang jahil ini. Bagaimanapun, saya telah tuliskan seringkas mungkin dalam bahagian dua tentang Imamah, dan itu sebenarnya sudah mencukupi bagi orang-orang yang berfikir.

Seperti yang telah saya sebutkan, Syiah adalah pengikut kepada Ahlulbait(as), mengakui kedudukan mereka dan meletakkan mereka di tempatnya. Oleh itu sudah pasti, di sisi kami, akan terdapat lebih banyak hadis-hadis keutamaan mereka, dan lebih lengkap, kerana tiada karenah birokrasi penulis hadis kami seperti penulis hadis Sunni. Saya fikir perlu juga saya tuliskan sedikit kata-kata Imam kami tentang keutamaan mereka agar melengkapi hadis-hadis dari Ahlul Sunnah. Mungkin ada orang yang tidak mampu menerima riwayat-riwayat dari kami, tetapi bagi pencari kebenaran, ia pasti tidak akan menjadi masalah, kerana seperti yang saya katakan, hadis Syiah melengkapi hadis-hadis Sunni.

Apa yang akan saya nukilkan ini ialah kata-kata Imam yang saya kutip dari kitab Nahjul Balaghah, sebuah kitab yang mengumpulkan surat-menyurat, khutbah dan kata-kata Imam Ali Amirul Mukminin semasa pemerintahannya. Walaupun ia tidak diterima secara masyhur di kalangan Ahlul Sunnah, tetapi ada beberapa orang ulama Sunni yang menerima buku ini, contohnya Syeikh Muhammad Abduh.


Telah berkata Amirul Mukminin(as) dalam Khutbah ke 83:

Ke arah manakah kamu akan pergi? Dan bagaimanakah kamu dapat tertipu? Sedangkan panji-panji kebenaran telah ditegakkan; bukti-bukti pun telah jelas; Mercu Suar telah dinyalakan. Maka bagaimana kamu dapat diselewengkan? Bahkan bagaimana kamu dapat disesatkan sedangkan kerabat-kerabat Nabi berada di kalangan kamu? Mereka itulh tonggak kebenaran; panji-panji agama; lidah-lidah yang selalu berkata benar! Tempatkanlah mereka itu sebaik tempat kamu meletakkan Al Quran. Datangilah mereka dengan sepenuh perhatian, seperti unta-unta yang mata air pelepas dahaga!

Wahai manusia! Peganglah erat-erat apa yang disabdakan Nabi mu, penutup para Nabi: “Mereka yang mati di antara kami, sesungguhnya ia tiada mati. Mereka yang hancur luluh tulang belulangnya di antara kami, maka ia tiada hancur*, maka janganlah kamu ucapkan apa yang tidak kamu mengertikan…..Bukankah aku dalam segala perbuatanku, telah berpegang teguh kepada peninggalan Rasulullah yang terpenting iaitu Al Quran, dan menitipkan padamu peninggalan yang lainnya, iaitu keluarga baginda(sawa)? Kutegakkan panji keimanan di antara mu…”

Seperti yang diterangkan oleh Syeikh Muhammad Abduh, apabila disebutkan “tiada mati dan tiada hancur” sesungguhnya ia adalah kerana ruh mereka tetap nampak di dunia nyata ini. Syeikh juga menukilkan bahawa Rasulullah(sawa) telah meninggalkan kepada kita Tsaqal Akbar iaitu al Quran dan Tsaqal Asghar iaitu Ahlulbait baginda.


Dan berkata lagi Amirul Mukminin(as):

“Jagalah keluarga Ahlulbait nabi mu, tetaplah bersama mereka, ikutilah jejak mereka. Kerana mereka takkan pernah menyelewengkan kamu dari petunjuk yang benar. Dan mereka tidak akan mengembalikan kamu ke dalam kegelapan kekafiran. Jika mereka berhenti, maka berhentilah. Jika mereka bergerak maka bergeraklah. Jangan mendahului mereka agar kamu tidak sesat. Dan jangan pula tertinggal dari mereka, nanti kamu binasa.”

Tambah beliau(as) lagi:

“Mereka itu kehidupan bagi ilmu, kematian bagi kebodohan. Kearifan mereka menunjukkan luas ilmu yang mereka miliki. Zahir mereka menjelaskan apa yang berada di batin mereka. Pendapat mereka dapat diketahui, meskipun mereka berdiam diri. Takkan pernah mereka berlawanan dengan kebenaran, dan takkan pernah mereka berselisih di dalamnya. Merekalah tiang-tiang Islam yang kukuh. Dan tempat berlindung yang aman. Dan kebatilan telah sirna dari kedudukannya, terputus dari sumbernya! Mereka memahami agama dengan kefahaman yang penuh kesedaran dan pengertian, bukan dengan pendengaran dan riwayat semata-mata. Kerana yang meriwayatkan ilmu itu banyak, tetapi yang menjaga kebenarannya sedikit.” Khutbah Imam Ali ke 83

Imam Ali di dalam Khutbah ke 150 berkata:

Kami-Ahlulbait(as)- adalah “orang-orang dalam” dan sahabat terdekat Rasulullah sawa. Kami ialah khazanah-khazanah ilmu baginda dan pintu-pintunya, dan tidaklah patut memasuki sesuatu rumah itu melainkan melalui pintunya. Barangsiapa yang memasuki bukan melalui pintunya, maka ia dinamakan pencuri…”

Kemudian beliau menjelaskan lagi tentang Ahlulbait(as):

“Mereka itulah yang dipuji Allah swt di dalam ayat-ayat Al Quran. Dimuliakan oleh Allah yang Maha Penyayang. Bila mereka berkata pasti dapat dipercayai. Dan bila mereka berdiam diri tidak ada seorang pun yang berani berbicara sebelum mereka. Maka setiap orang hendaknya jujur kepada diri mereka sendiri. Dan janganlah sekali-kali meninggalkan peninggalan akal sihatnya.”

Dalam Khutbah ke 13 Amirul Mukminin(as) berkata:

“Dengan kami, kalian mendapat petunjuk sehingga keluar dari kegelapan, dan mencapai kemuliaan.”

Khutbah ke 105 menyaksikan kata-kata Amirul Mukminin seperti berikut:


“Kami adalah pohon Nubuwwah, pusat risalah, persinggahan malaikat, sumber ilmu, mata air hikmah. Orang yang memandang kami dengan kecintaan, menarik nikmat Allah. Adapun musuh-musuh kami dan yang membenci kami, menarik kemurkaan Allah swt.”

Di dalam sebahagian dari ucapannya:

“Di manakah orang yang mengaku bahawa merekalah dan bukannya kami(Ahlulbait) yang mantap dalam menguasai ilmu? Semata-mata disebabkan kebohongan dan kedengkian mereka terhadap kami, kerana Allah telah memuliakan kami dan menghinakan mereka? Melimpahnya kurnia Allah ke atas kami dan menjauhnya limpah Allah dari mereka? Memasukkan kami dalam lindungannya dan mengeluarkan mereka? Dengan kami orang mendapat petunjuk, dan dengan kami dihilangkan kebodohan. Kepimpinan(Imamah) haruslah diserahkan kepada para Imam dari Bani Hashim di antara Quraish. Tidaklah pantas bagi selain mereka, dan tidaklah pantas bagi pemimpin(imam) kecuali yang berasal dari mereka…”

Dalam sebuah lagi ucapan beliau, yang turut dikutip oleh banyak Ulama Ahlul Sunnah, antaranya Ibnu Hajar, Bab Keutamaan Ahlulbait, Sawaiq al Muhriqah:

“Kami adalah orang-orang yang dikurniakan kelebihan kemuliaan. Kami adalah pengikut terdepan para Nabi. Kelompok kami ialah Hizbollah, adapun musuh-musuh kami, kelompok orang-orang zalim, ialah Hizbus Syaitan. Maka barangsiapa yang menyamakan kami dengan musuh-musuh kami, bukanlah dari kalangan kami.”

Demikianlah cucunda Rasulullah(sawa), al Imam Hassan al Mujtaba(as) berkata:

“Cintailah kami dengan ketaqwaan kamu kepada Allah, kerana kami adalah pemimpin-pemimpin mu.” ( Rujukan yang sama seperti di atas di dalam Buku Ibnu Hajar)

Semoga Allah swt memberi kita hidayah. Salam dan solawat.

(Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Post a Comment

mohon gunakan email

Terkait Berita: