Pesan Rahbar

Home » » Sastera: Tunggu Ana di Karbala

Sastera: Tunggu Ana di Karbala

Written By Unknown on Sunday, 4 September 2016 | 06:31:00


MATA hijau Munir berkaca-kaca. Semangkuk bubur oat yang disediakannya sudah saya hirup habis. Husin, adiknya duduk di sisi tersenyum-senyum penuh rahsia bagaikan menyembunyi sesuatu. Saya membetulkan kot dan mengemaskan serban membalut tengkuk. Kelmarin hujan membasahi Karbala dan suhu jatuh mendadak. Kemudian Munir memberanikan diri bertanya, "Akhi, adakah enta seorang Syiah?"

Giliran mata saya berkaca-kaca. Saya ingin menjawab seperti mana jawapan yang diberi oleh ulama terkenal Indonesia, Hamka. Arwah pernah ke Karbala dua kali. Pada tahun 1950 dan tahun 1968. Almarhum pernah diajukan soalan yang sama. Jawapan Hamka seperti yang beliau nukilkan pada prakata buku terjemahan Al Husain Bin Ali karya asal alHamid alHusaini ialah; "Saya tidak bermazhab Syiah, tetapi saya mencintai Husain!" Tetapi kata-kata awal Hamka itu saya telan kerana saya rasa tiada maknanya buat mereka berdua. Hanya yang saya luahkan ialah, "Saya pencinta Husin. Seperti kamu berdua. Bukankah Rasulullah SAW bersabda: "Kedua anak ini adalah anakku dan anak dari puteriku. Ya Allah, sesungguhnya aku mencintai kedua-duanya, maka cintailah kedua-duanya dan cintailah orang yang mencintai kedua-duanya." Saya ingin mendapat cinta Allah, maka saya mencintai Hasan dan Husin."

Husin, adik Munir, merekahkan senyuman di bibir sebelum ketawa halus. Seakan-akan saya memberitahu yang saya mencintainya. Duhai, tidakkah indah seorang Sunni dan seorang Syiah bersatu mencintai cucunda Rasulullah?

Begitulah perkenalan singkat saya dengan Munir dan Husin. Mereka berdua datang ke Karbala dari Kazimiyyah, Baghdad untuk menjadi sukarelawan melayan penziarah makam Saidina Husin.

"Dua minggu," ujar Munir membuat isyarat jari.

"Kami akan membersihkan sampah sarap dan memberi tetamu Imam Husin makan. Kami tiada duit yang banyak. Tetapi apa yang ada akan kami berikan untuk Husin." Celah Husin lebih bersemangat.

Entah kerana ada angin dingin yang menyerbu muka saya membuatkan rasa keharuan menggigit atau sememangnya saya sedia menahan sebak pilu setiap kali menghadap ke jihat makam Saidina Husin dan Abal Fadz.

Di jalanan sudah ada perarakan duka sejak subuh. Makam Imam Husin, kubah emas dengan bendera merah berkibar lesu tampak berbalam-balam diserkupi dingin musim sejuk. Saya sebetulnya sedikit resah. Komputer riba saya dirampas oleh askar Amerika sebaik masuk ke sempadan Iraq. Saya bernasib baik mendapat kamar untuk disewa. Kamera Nikon kesayangan saya harus ditinggalkan di kamar tumpangan demi tujuan keselamatan. Khabarnya pernah beberapa kali letupan berlaku di Karbala dengan bom kecil disembunyikan pada kamera, telefon bimbit dan komputer. Jadi, saya rasa gelisah kerana tidak dapat merakami apa yang patut saya lakukan sebagai seorang musafir.

Sejak saya belum berjaya meloloskan diri perbatasan dan mengunjungi Karbala, saya sudah bertanyakan kepada pengawal sempadan di Kermanshah, dia kelihatan seperti orang yang tahu. Pengawal itu yang bernama Redza menyatakan, "Saudara orang Sunni? Saudara merujuk Sunan Tirmidzi?"

Saya tidak menjawab. Sunni atau Syiah tidaklah terlalu penting jika hati kita bersama Allah, Rasul dan ahli keluarganya sepertimana yang kita ucapkan tatkala berselawat dalam solat. Pengawal itu menyambung, seraya mencapai kitab Imam Tirmidzi yang dicapai dari rak bukunya yang kelihatan padat. "Dalam Sahih Tirmidzi hadis bernombor 3860: Abu Said al-Asyajj menceritakan kepada kami, Abu Khalid al-Ahmar memberitahukan kepada kami, Razin memberitahukan kepada kami, dia berkata Salam menceritakan kepada kami, dia berkata: Aku masuk menghadap Ummu Salamah sedangkan dia tengah menangis lalu aku berkata: Apa yang membuat kamu menangis? Dia berkata: Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW, sedangkan di atas kepala dan janggut beliau terdapat debu. Lalu aku bertanya: Apa yang terjadi pada engkau Wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Aku baru saja menyaksikan pembunuhan Al-Husin." Orang bertanya kami, mengapa syiah menangis? Saya ingin bertanya, mengapa sunni tidak menangis? Mengapa pula tidak boleh menangis?"

Saya rasa mengerdil kerana tergagap di hadapan seorang pengawal sempadan berpangkat rendah.

Redza menerangkan lagi, "Isteri Rasullullah SAW, Ummu Salamah sendiri menangis mengenangkan pembunuhan Imam Husin, mengapa tidak kita? Nabi tidak pula melarang isterinya. Bahkan Nabi Muhammad menjelma di hadapan Ummu Salamah dalam keadaan kesedihan sehingga berlumuran debu. Nabi Yaakub a.s menangisi kehilangan Nabi Yusuf sampai matanya buta, Allah pun tidak melarang. Mengapa ada orang bertanya mengapa kami menangis mengenang tragedi penyembelihan dan pembunuhan cucu Nabi Muhammad saw. Tidakkah itu aneh?"


Malu

Buat seketika, saya jadi malu sendiri. Saya belajar ilmu syariah di peringkat ijazah tetapi saya tidak pernah menerokai sedalam ini. Hari ini, setelah meninggalkan bidang syariah secara akademik dan menceburi bidang kesusasteraan bandingan saya kembali berazam untuk menekuni setiap lapis yang ada. Saya kini jelas akan sebuah hadis yang berbunyi: Mahmud bin Ghailan menceritakan kepada kami, Abu Daud al Hafari menceritakan kepada kami dari Sufyan dari Yazid bin Abu Ziyad, dari Ibnu Abi Nu'am, dari Abu Sa'id al Khudri radiallahuanhu, ia berkata: Rasulullah saw bersabda, "Hasan dan Husin adalah pemimpin pemuda penghuni syurga." Dalam benak saya bergumul satu pertanyaan, adakah orang tua di syurga? Jika saya cintakan Husin seperti yang dituntut Rasulullah SAW apa buktinya? Kematiannya yang tragis dan ngeri itu pun saya tidak tahu dengan terperinci dan benar, bagaimana saya boleh mengaku mencintainya dan ada hati pula untuk menjadi penghuni syurga? Bukankah jika kita tidak mengenal maka kita tidak mencinta. Soalnya jika saya kenal, kenalkah saya sungguh-sungguh mengapa Saidina Husin, penghulu di syurga itu sampai syahid dibunuh dan apa pula falsafah di sebalik pengorbanan besar baginda itu.

Sewaktu di Kolej Islam Kelang, dalam sebuah usrah yang dibimbing oleh seorang naqib saya bertanyakan soalan mengapa Nabi Muhammad meminta kita mencintai Saidina Husin cucunya? Naqib itu yang hari ini menjadi seorang ulama tersohor menjawab. "Ia cinta seorang datuk kepada cucunya." Sejak hari itu saya memutuskan diri dari kata-kata batil sedemikian. Masakan itu sekadar cinta seorang nenda kepada cucunda? Nabi Muhammad adalah seorang utusan Allah. Setiap kata-katanya, tindak-tanduknya adalah daripada Allah swt. 'Dan tidaklah yang diucapkannya (Nabi Muhammad) itu menurut hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan.' Demikian firman Allah dalam surah An Najm pada ayat 3 dan 4.

Tentu, Saidina Husin terbunuh di Karbala kerana gabungan perbuatan khianat penduduk Kufah dan kezaliman Yazid serta sekutunya; akan tetapi duhai, tidakkah kejadian itu sebenarnya mempunyai sebab. Seperti mana yang saya kuasai ketika menulis fiksyen, plot itu adalah sebab dan akibat. Nah, 'akibat'nya ada di Karbala; dan saya baru pulang dari Madinah mengerjakan haji dan ziarah, 'sebab'nya pula ada di Madinah. Sebab yang menyayat hati, akibat yang amat tragis. Sejarah ada kausaliti. Sebab dan akibat. Saya harus mencari. Kerana itu saya bergegas ke sini. Segera saya teringat bab-bab awal buku Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam karangan Taha Husain yang telah diterjemah ke bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1990.

"Kenapa enta di sini?" Soal Husin bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan saya. Lamunan saya mati andar. Sungguh, saya memberanikan diri menyeberangi sempadan Iran menuju ke sini kerana saya ingin mencari. Saya sedang memburu bahan untuk menyiapkan sebuah buku akademik mengenai drama perkabungan (ta'ziyeh) Imam Husin untuk dibandingkan dengan drama perkabungan Jesus (liturgy) dalam Kristian bermazhab Katholik. Di tanah air saya diasak tohmahan yang saya adalah seorang syiah kerana minat saya mengkaji wilayah kabur ini. Saya tidak apa-apa dituduh. Hanya Allah dan Nabi Muhammad SAW yang akan menilai duduk iman saya. Saya tidak akan berkongsi kubur dengan sang penuduh.


Mencintai

Husin tiba-tiba berbicara, "Faisal, kalau kita benar-benar mencintai Rasulullah maka kita pun meraikan kelahiran baginda, kita raikan pula israk mikraj, kita raikan setiap kegembiraan baginda Nabi Muhammad SAW. Mengapa ketika kesedihan dan kedukaan Nabi Muhammad kita mahu melupakannya dan tidak mahu menangisinya seperti yang Rasulullah SAW lakukan? Bolehkah enta mencintai Rasulullah dan hanya bersama dengannya ketika senang dan meninggalkan baginda nabi ketika baginda bersedih? Tidakkah itu janggal sekali? Dan adalah jelas, Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan duka oleh kesyahidan cucunya yang dianiaya sedemikian rupa."

Petang itu saya harus berangkat ke Samarra. Jalanan sudah kian sesak dengan penziarah yang siap berkabung mengenang Saidina Husin, cucu Rasulullah SAW. Saya bimbang menongkah arus manusia di jalanan akan melambatkan pergerakan menuju ke Baghdad yang penuh bahaya.

"Tunggu ana di sini, di Karbala." Kata saya kepada Munir dan Husin. "Ana ke Samarra hanya seharian, esok kembali ke sini."

Munir mengangguk. Husin tersenyum. Matanya bening. Saya memegang tangan Husin dan membuka genggamannya, pada telapak tangan anak muda itu saya letakkan pengikat kunci Menara Berkembar Petronas. Dia memeluk saya. Sungguh gembira. Katanya dia mahu mengumpul wang untuk belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur. Kemudian Munir dan Husin memberikan saya sekeping gambar yang siap dibingkai. Foto Makam Imam Hasan Askari dan Hadi Naqi di Samarra yang dibom pengganas wahabi. Saya memegang bahu Husin, "Ana akan kembali. Tunggu ana di Karbala. Di sini."

Mereka berdua menghantar saya naik teksi. Husin menangis. Munir menyabarkan. Saya sendiri mengulum sebak. Malam itu dalam perjalanan ke Samarra, teksi yang saya tumpangi berkali-kali ditahan askar di pos kawalan. Ketika tiba di Baghdad, pengawal di salah sebuah pos kawalan memberitahu sesuatu kepada pemandu teksi. Dalam keadaan terlayang dek kepenatan dan kurang mendengar buah butir percakapan mereka, saya hanya mengabaikan. Hanya apabila kami berhenti untuk solat subuh di sebuah masjid di tepian jalanan pemandu tersebut mengkhabarkan, "Ada letupan di Karbala. Letupan itu 150 meter dari zarih Imam Husin. Ratus penziarah syahid di hadapan bapa sekian syuhada."

Saya menunaikan solat subuh dalam keadaan bergenang air mata. Saya berdoa supaya Allah menjaga Munir dan Husin. Saya ingin menemui mereka lagi di Karbala. Saya ingin meneruskan persahabatan ini. Saya mahu Munir dan Husin belajar bahasa Inggeris di Kuala Lumpur nanti.

Dan apabila saya patah kembali ke Karbala di penghujung hari, menunggu di tempat yang sama. Tampang mereka berdua tiada. Saya mencari Munir dan Husin di tempat biasa mereka memasak bubur oat yang lemak itu. Seorang teman mereka, Musa, memberitahu dengan wajah sayu, dengan tutur kata bercampur duka dan ria.

"Mereka telah syahid. Mereka terkorban dalam letupan kelmarin. Dan pada tangan Husin tatkala ia berpaut pada zarih Imam Husin ada pengikat kunci. Ada pengikat kunci enta yang dibawanya ke syurga bersama."

Duhai, dukaku Husin. Dukaku Husin. Saya menangis tanpa henti pada hari itu. Saya masih ingat. Ia pagi sepuluh Muharram. Saya kehilangan dua Husin. Muharram ini hampir setahun saya berkenal dengan Munir dan Husin, kata-kata saya, 'Tunggu ana di Karbala', masih bergaung dan bergema; menalun dalam dada. Dan saya sering bertanya, 'Mengapa mereka membunuh Husin, mengapa?"

(Utusan-Online/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Post a Comment

mohon gunakan email

Terkait Berita: