Salamun Alaikum wa rahmatollah. Bismillahi Taala
Rasulullah (s.a.w) bersabda:
Wahai Fathimah, setiap mata menangis di hari kiamat kelak melainkan mata yang telah menangis atas musibah Al-Husain. Sesungguhnya ia akan ketawa dan dikabarkan berita gembira tentang nikmat-nikmat syurga. – Biharul Anwar, jilid 44 halaman 293.
Kesedihan dan tangisan adalah fitrah semulajadi ciptaan:
Salah satu sunnah Ilahi dari aspek fitrah dan zat di dalam insan ialah gambaran praktikal ruhani dan psikologi ketika mengalami situasi yang menggembirakan atau mendukacitakan. Apabila mendengar sesuatu berita atau berhadapan dengan perkara yang tidak diduga, emosi dalaman boleh memperlihatkan reaksi seseorang insan.
Hal ini jelas kelihatan apabila seseorang itu berdepan dengan peristiwa pahit seperti musibah dan kesusahan dengan air mata yang mengalir, tangisan dan ratapan.
Begitu juga ketika berhadapan dengan peristiwa yang menggembirakan dirinya atau mendengar kabar baik. Seseorang insan selalunya memperlihatkan keceriaan dirinya.
Seorang ibu yang kematian anak atau kehilangan orang yang tersayang boleh menitiskan air mata yang mengadu derita dalaman dan rohani. Dalam menghadapi kematian orang yang tersayang seorang insan itu tidak dapat mempertahankan kesabarannya hasil dari tergurisnya emosi fitrah keibuan. Perbuatan ini bukan sahaja tidak tercela, bahkan membangkitkan semangat dan juga kebanggaan diri.
Oleh itu, syair ratapan, Azadari dan keluhan berasal dari fitrah dan sifat semulajadi insan. Menolak perkara ini sama sahaja dengan menolak fitrah.
Setiap Imam Maksum (a.s) mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding dengan yang lain. Sayyidul Syuhada (a.s) juga mempunyai ciri-ciri sendiri di mana para Imam yang lain tidak disifatkan sedemikian rupa. Contohnya seluruh para nabi, wali-wali dan para washi menitiskan air mata terhadap beliau sebelum kelahirannya dan setelah itu. Air mata ini mereka anggap sebagai kebanggaan diri sendiri.
Artikel ini akan mengemukakan beberapa contoh tangisan Rasulullah (s.a.w) daripada riwayat dari jalur Syiah dan beberapa riwayat yang lain daripada jalur muktabar Ahlusunnah Wal Jama’ah.
Tangisan Rasulullah (s.a.w) dalam riwayat Syiah.
Banyak riwayat dari jalur Syiah yang menceritakan peristiwa ini. Memadailah beberapa riyawat dikemukakan di sini. Al-Marhum Syaikh Saduq di dalam kitab Syarif ‘Uyun Akhbar Al-Ridha ‘Alaihissalam menulis:
Asma’ berkata, dalam tahun setelah kelahiran Al-Husain (a.s), Rasulullah datang kepadanya dan bersabda: Wahai Asma, bawakan kepadaku cucuku. Asma pun memberikan Al-Husain kepada baginda dalam keadaan dibalut dengan kain putih. Baginda mengazankan pada telinga kanan dan iqomah pada telingan kirinya. Baginda meletakannya diribanya dan menangis. Asma’ bertanya: Ayah dan ibuku berkorban untukmu, kepada siapa engkau menangis? Baginda menjawab: Kepada cucuku ini. Aku berkata: Beliau baru sahaja lahir. Baginda bersabda: Beliau akan dibunuh oleh penderhaka yang sesat setelah kewafatanku. Allah tidak akan mengenakan syafaatku kepada mereka. Kemudian baginda bersabda: Wahai Asma’, janganlah dikau menyampaikannya kepada Fathimah, kerana beliau baru melahirkannya…” – ‘Uyun Al-Akhbar Al-Ridha Alaihissalam, jilid 2 halaman 26
Al-Marhum Syaikh Mufid di dalam kitab Al-Irsyad menulis:
Daripada Ummu Salamah, pada suatu malam Rasulullah (s.a.w) keluar berjauhan daripada kami dalam tempoh yang lama. Kemudian baginda pulang kepada kami dalam keadaan kusut berdebu dan tangannya sedang mengumpal. Aku bertanya: Wahai Rasulullah, mengapa engkau berdebu? Baginda bersabda: Aku dibawa pada malam ini ke sebuah tempat di Iraq, dikatakan bahawa ia adalah Karbala. Maka aku telah melihat gelanggang Al-Husain dan jemaahnya daripada anak cucu dan Ahlul Baitku syahid di sana. Aku memungut darah-darah mereka di sana, inilah sedikit di dalam tanganku. Ambillah ia dan jagalah ia. Maka aku pun mengambilnya dan ia seakan-akan tanah berwarna merah dan aku menyimpannya di dalam botol kaca. Tatkala Al-Husain (a.s) keluar menuju ke arah Iraq, setiap hari siang dan malam aku menciumnya dan melihat padanya, aku menangisi musibahnya. Menjelang hari ke-sepuluh Muharram iaitu hari beliau terbunuh, aku mengeluarkannya dan ia tidak berubah, kemudia aku melihat kembali di penghujung tengahhari dan ia bertukar menjadi darah pekat, aku menjerit. Oleh kerana aku bimbang musuh mengetahui perkara yang aku sembunyikan, maka aku pun sentiasa menanti sehinggalah khabar pembunuhan Al-Husain diumumkan di Madinah. – Al-Irsyad Fi Ma’rifah HijajiLlah Alal ‘ibad, jilid 2 halaman 130.
Beliau juga turut menulis:
Ummu Salamah berkata: Pada suatu hari, Rasulullah (s.a.w) duduk dan meriba Al-Husain. Tiba-tiba air matanya menitis. Aku bertanya: Wahai Rasulullah, aku melihat engkau menangis. Baginda bersabda: Jibrail (a.s) datang kepadaku dan mengucapkan takziah kepadaku tentang Al-Husain. Ia memberitahu bahawa sekumpulan daripada ummatku akan membunuhnya. Allah tidak akan memberikan syafa’atku kepada mereka. – Al-Irsyad Fi Ma’rifah HijajiLlah Alal ‘ibad, jilid 2 halaman 130.
Tangisan Rasulullah (s.a.w) di dalam riwayat Ahlusunnah.
Syamsuddin Al-Zahabi, merupakan salah seorang ilmuan Ahlusunnah yang terbilang menulis di dalam kitab Tarikh Al-Islam:
Imam Ahmad di dalam Musnadnya mengatakan… Abdullah bin Naji daripada ayahnya, sesungguhnya beliau pergi bersama Ali dengan wadah air. Tatkala sampai di Nainawa (menghala ke Siffin), maka ia berkata: Ya Aba Abdillah, nanti sebentar. Aku berkata: Mengapa? ia berkata: Aku pernah bertemu Rasulullah dalam keadaan mata baginda menitiskan air mata. Baginda pun berkata kepadaku bahawa Jibrail telah berdiri di sisiku dan berkata bahawa Husain akan dibunuh di Shatt Al-Furat. Mahukah engkau mencium bau tanahnya? Aku menjawab: Iya. Maka baginda menggenggam tanah dan memberikannya kepadaku dan aku tidak dapat menahan air mataku dari mengalir…
Diriwayatkan daripada Anas bahawa Malaikat Hujan di hari Ummu Salamah (hari yang Rasulullah berada di rumahnya) meminta izin daripada Rasulullah untuk masuk. Kemudian baginda bersabda: Wahai Ummu Salamah, jagalah pintu agar tidak ada orang yang masuk. Ketika ini Al-Husain datang dan meluru ke pintu serta masuk ke dalam bilik. Al-Husain naik di atas belakan Nabi. Rasulullah (s.a.w) menciumnya dan Malaikat Hujan berkata: Apakah engkau kasih padanya? Baginda menjawab: Iya. Malaikat berkata: Sesungguhnya ummatmu akan membunuhnya setelah kewafatanmu. Aku akan perlihatkan tempat kesyahidannya jika kamu mahu. Baginda berkata: Iya. Maka ia membawa baginda ke dataran atau tanah merah. Tsabit berkata: Kami memanggilnya sebagai Karbala.
Umarah adalah seorang yang Shalih Hadis, ramai orang meriwayatkan daripadanya.
… Rasulullah bersabda kepada isterinya bahawa janganlah kalian biarkan kanak-kanak ini (Al-Husain) menangis. Pada suatu hari Jibrail turun dan baginda bersabda kepada Ummu Salamah: Jangan benarkan sesiapa pun masuk ke dalam bilik. Kemudian Al-Husain datang dan mula menangis. Ummu Salamah mengizinkannya memasuki bilik dan beliau duduk di riba Rasulullah (s.a.w). Kemudian Jibrail berkata: Umatmu akan membunuhnya. Baginda bertanya: Apakah mereka itu membunuh dalam keadaan beriman? Beliau berkata: Iya. Kemudian Jibrail menunjukkan tanahnya.
… Ummu Salamah memberitahuku bahawa pada suatu hari Rasulullah tidur kemudian bangun dalam keadaan tidak senang hati. Kemudian baginda baring dan bangun lagi tidak seperti pertamanya. Sekali lagi baginda tidur dan bangun lagi, di tangannya terdapat tanah merah yang baginda cium. Aku bertanya: Tanah apakah ini? Baginda bersabda: Jibrail memberitahuku bahawa Al-Husain akan dibunuh di bumi Iraq dan inilah tanahnya…
Rasulullah bersabda kepadanya bahawa malaikat yang belum pernah datang sebelum ini menemuiku. Kemudian ia berkata: Cucumu Al-Husain akan dibunuh dan jika engkau mahu, aku akan tunjukkan tanah dari bumi ia dibunuh… persanadannya Sahih, Ahmad dan beberapa orang yang lain meriwayatkannya.- Tarikh Al-Islam Zahabi, jilid 5 halaman 102
Hakim Naisyaburi yang merupakan salah seorang ulama Ahlusunnah di dalam kitab Al-Mustadrak Ala Al-Sahihain menulis:
Ummul Fadhl binti Harits menerima kunjungan Rasulullah (s.a.w), beliau berkata: Aku mendapat mimpi ngeri malam tadi. Baginda bertanya: Mimpi apakah itu? Beliau menjawab: Ia sungguh mengerikan. Baginda bertanya lagi: Mimpi apakah itu? Jawabnya: Sepertinya bahagian daripada tubuhmu terpotong dan berada di ribaku. Maka sabda Rasulullah (s.a.w): Mimpi yang baik. Engkau bermimpi Fathimah akan segera beroleh seorang anak dan anak itu akan berada di ribamu. Maka Al-Husain pun lahir, beliau berkata ia berada dipangkuanku sebagaimana yang disabdakan Rasulullah.
Pada suatu hari aku menemui Rasulullah dan meletakkan Al-Husain dipangkuan baginda sebagaimana ia berada di ribaku dulu (mimpi). Apabila baginda menitiskan air mata, aku berkata: Ayah dan ibuku menjadi korban buatmu, mengapakah engkau menangis? Baginda bersabda: Jibrail baru sahaja menemuiku dan memberikan berita bahawa ummatku akan membunuh cucuku ini. Ia juga membawa kepadaku tanah bewarna merah. – Al-Mustadrak Al-Hakim, jilid 3 halaman 176-177; Tarikh Madinah Dimasqi Ibnu Asakir, jilid 14 halaman 196-197; Al-Bidayah Wa Al-Nihayah Ibnu Katsir jilid 6 halaman 258.
Setelah menukilkan hadis ini, Hakim Nisyaburi menulis:
Hadis ini Sahih mengikut pensyaratan Syeikhain.
Di tempat yang lain pula beliau menulis:
Abdullah bin Zam`ah berkata: Ummu Salamah berkata kepadaku: Pada malam itu Rasulullah (s.a.w) baring untuk tidur dan bangun tiba-tiba dalam keadaan cemas. Baginda tidur sekali lagi dan menutup mata. Tidak lama setelah itu baginda terjaga lagi dan cemasnya berkurangan tidak seperti mula-mula tadi. Kemudian baginda tidur lagi dan terjaga lagi dan di tangannya terdapat tanah bewarna merah dan baginda menciumnya. Aku bertanya: Tanah apakah ini wahai Rasulullah (s.a.w)?. Baginda menjawab: Jibrail telah memberitahuku sesungguhnya Al-Husain akan terbunuh di bumi Iraq. Aku meminta tanah di bumi beliau dibunuh daripada Jibrail. Maka inilah tanahnya. – Almustadrak, Al-Hakim, jilid 4 halaman 398.
Al-Tabrani di dalam Mu`jam Al-Kabir, Al-Haitsami di dalam Majma` Al-Zawa’id dan Muttaqi Al-Hind di dalam Kanzul Ummal menulis:
Ummu Salamah berkata, pada suatu hari Rasulullah duduk di rumahku. Baginda berkata: Jangan benarkan sesiapapun masuk. Maka aku pun menunggu dan Al-Husain pun masuk. Aku terdengar Rasulullah (s.a.w) menangis tersedu-sedu. Aku melihat Al-Husain di atas riba dan Nabi (s.a.w) mengusap tepi kepala beliau sambil menangis. Aku bekata: Demi Allah, aku tidak tahu dia masuk. Maka baginda bersabda: Sesungguhnya Jibril (a.s) bersama kami di dalam rumah, ia bertanya kepadaku: Apakah engkau mengasihinya?. Jawabku: Iya. Jibril berkata: Ummatmu akan membunuh anak ini di bumi yang dikenali sebagai Karbala. Jibril pun mengambil tanahnya dan memperlihatkan kepada Nabi (s.a.w). Tatkala mereka mengepung untuk membunuh Al-Husain, beliau bertanya: Apakah nama bumi ini? Mereka menjawab: Karbala. Al-Husain pun berkata: Benarlah Allah dan Rasulnya yang mengatakan bumi ini adalah Karb dan Bala. – Mu’jam Al-Kabir, Al-Tabrani, jilid 23 halaman 289-290; Majma’ Al-Zawaid, Al-Hatsami, jilid 9 halaman 188-189; Kanzul Ummal, Al-Muttaqi Al-Hindi, jilid 13 halaman 656-657.
Setelah menukilkan hadis ini, Haitsami mengatakan:
Diriwayatkan oleh Tabrani dan tsiqah salah satu rijal.
Begitu juga dalam hadis lain, Haitsami di dalam Majma` Zawaid, Ibnu Asakir di dalam Tarikh Madinah Dimasq, Mizzi di dalam Tahzibul Kamal dan Ibnu Hajar Asqalani di dalam Tahzibul Tahzib menulis:
Ummu Salamah berkata, Al-Hasan dan Al-Husain sedang bermain di depan Rasulullah (s.a.w) di rumahku. Maka turunlah Jibril dan berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya ummatmu akan membunuh cucumu ini setelah kewafatanmu sambil mengisyaratkan tangannya kepada Al-Husain. Maka menangislah Rasulullah (s.a.w) dan memeluk Al-Husain ke dadanya. Rasulullah (s.a.w) berkata: Simpanlah tanah ini. Baginda mencium tanah tersebut dan bersabda: Berbau Karb dan Bala. Kemudian tanah itu diserahkan kepada Ummu Salamah dan baginda bersabda: Wahai Ummu Salamah, ketika tanah ini bertukar menjadi darah, saat itu cucuku Al-Husain dibunuh. Ummu Salamah meletakkan turbah di dalam botol kaca dan setiap hari beliau melihat padanya dan berkata: Wahai tanah, pada hari engkau bertukar menjadi darah, itu lah hari yang besar.
Setelah menukilkan hadis ini, Ibnu Hajar Al-`Asqalani berkata:
Perkara ini turut dinukil daripada `Aisyah, Zainab binti Jahsy, Umm Fadhl binti Al-Harits, Abu Amamah, Anas bin Al-Haris dan yang lain lagi.
Di dalam riwayat yang lain, Al-Haitsami menulis:
Abi Umamah berkata, Rasulullah (s.a.w) bersabda kepada isteri-isterinya: Janganlah kalian menyebabkan kanak-kanak ini menangis, iaitu Husain. Pada suatu hari di rumah Ummu Salamah, Jibril turun dan menemui Rasulullah (s.a.w). Baginda berkata kepada Ummu Salamah: Jangan benarkan sesiapa pun masuk menemuiku. Maka datanglah Al-Husain. Tatkala melihat Nabi (s.a.w) di dalam rumah, beliau ingin masuk namun Ummu Salamah mengambilnya dan memeluknya. Al-Husain menangis dan Ummu Salamah berusaha supaya ia berhenti menangis, namun Al-Husain meronta. Lantas Al-Husain dilepaskan dan masuk ke dalam bilik Nabi (s.a.w) dan duduk di atas riba baginda.
Maka Jibril pun berkata kepada Nabi (s.a.w) sesungguhnya ummatmu akan membunuh cucumu ini. Maka Nabi (s.a.w) bertanya: Mereka membunuhnya dalam keadaan mereka beriman denganku? Jawabnya: Iya mereka membunuhnya. Maka Jibril mengambil tanah dan berkata: Ini adalah dari tempat itu. Maka Rasulullah (s.a.w) keluar sambil memeluk Husain dengan berdukacita. Maka Ummu Salamah menyangka baginda murka kerana kanak-kanak itu masuk. Lantas Ummu Salamah berkata: Wahai Nabi Allah. Aku berkorban untukmu, katamu jangan buatkan anak ini menangis dan engkau mengarahkan aku supaya jangan biarkan sesiapapun masuk. Beliau datang dan aku melepaskannya. Baginda tidak berkata apa-apa dan pergi kepada para sahabatnya yang sedang duduk. Baginda bersabda: Sesungguhnya ummatku membunuh (kanak-kanak) ini. – Majma’ Al-Zawaid, Al-Haithami, jilid 9 halaman 189; Al-Mu’jam Al-Kabir, Al-Tabrani, jilid 8 halaman 285-286; Tarikh Madinah Dimasq, Ibnu Asakir, jilid 14 halaman 190-191
Sedikit Kesimpulan Ibnu Azmi: Jelas dari kelakuan Rasulullah(s), kesyahidan Imam Hussain(a) sangat menyayat hati baginda(s). Ini adalah kerana sabda baginda sendiri bahawa Imam Hussain(a) adalah sebahagian dari baginda(s). Dukacita sekali, di zaman sekarang ada pihak mempertikaikan motif Imam Hussain(a) bergerak keluar dari Makkah menuju ke Kufah sebagai satu tindakan yang salah. Demi mempertahankan pemimpin mereka yang terlaknat itu, mereka meletakkan kesalahan itu di bahu Imam Hussain(a), kerana beliau berniat untuk menentang pemimpin yang “sah” di waktu itu. Mereka juga mempertikaikan atas alasan apa Imam Hussain(a) tidak mahu mendengar nasihat para sahabat seperti Ibnu Zubair, Ibnu Umar dan lain-lain dari meneruskan niat beliau.
Apa yang menghairankan, setelah mengetahui perkara ini, Rasulullah(s) tidak pernah menghalang, atau menegur Imam Hussain(a) dari melaksanakan revolusi ini. Tidak seperti ketika baginda mengingatkan Ummul Mukminin Aisyah dari terjebak ke dalam perang unta atau banyak lagi peringatan baginda(a) kepada sahabat baginda(s) tentang perkara di masa hadapan. Diam Rasulullah(s) ini, adalah bukti sahnya pemberontakan Imam Hussain(a), tambahan pula beliau dididik oleh jiwa suci dari kecil lagi.
Dapat disimpulkan, pemberontakan Imam Hussain(a) adalah selari dengan kebenaran, dan pihak yang membunuh beliau, yang menyebabkan terbunuhnya beliau, adalah pihak yang zalim. Wasalam