Daftar Isi Nusantara Angkasa News Global

Advertising

Lyngsat Network Intelsat Asia Sat Satbeams

Meluruskan Doa Berbuka Puasa ‘Paling Sahih’

Doa buka puasa apa yang biasanya Anda baca? Jika jawabannya Allâhumma laka shumtu, maka itu sama seperti yang kebanyakan masyarakat baca...

Pesan Rahbar

Showing posts with label Mubahalah. Show all posts
Showing posts with label Mubahalah. Show all posts

ANTARA FATIMAH AZ-ZAHRA DAN MUBAHALAH



Para ulama terkemuka , baik dari kalangan umum (Ahlus Sunnah) mahu pun khusus (Ahlul Bait) telah banyak menulis tentang keutamaan-keutamaan Fatimah az-Zahra.

Di antara ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan berkaitan dengan Fatimah adalah ayat Mubahalah (Ali-'Imran:61). Para ulama tafsir sepakat bahawa beliaulah yang dimaksudkan dengan perkataan " nisaa-anaa"(wanita-wanita kami) dalam ayat tersebut. Mereka menyebutkan ini secara " ijma' "(sepakat) bahawa kedatangan az-Zahra sendiri untuk melakukan "Mubahalah" adalah seperti kehadiran sekumpulan wanita mukmin.

Seandainya hanya ayat ini sahaja yang berhubungan dengan keutamaan Fatimah, cukuplah sudah untuk menunjukkan agungnya kedudukan beliau.


Mubahalah Dan Penegakan Kebenaran :

Mubahalah dilakukan ketika terjadi perbezaan dan pertentangan di antara dua orang atau lebih; masing-masing menolak dalil dan hujjah yang dikemukakan oleh pihak lain. Agar keduanya memperoleh kejelasan dalam pertentangan itu, maka kedua-dua pihak berdoa (bermubahalah) kepada Allah agar yang batil (salah) di antara keduanya menarik diri sehingga kebenaran menjadi jelas.

Waktu itu, Rasulullah (saw) telah menyebutkan di hadapan kaum Nasrani Najran bahawa Nabi Isa (as) adalah makhluk dan hamba Allah; sesungguhnya Nabi Isa (as)telah menyampaikan berita gembira tentang kenabian baginda (saw). Lalu baginda (saw) meminta mereka agar menghadapkan kepadanya sekelompok kaum Nasrani Najran ke Madinah supaya baginda dapat berdiskusi bersama mereka. Kemudian mereka datang dan menetap di Madinah selama beberapa hari. Meskipun demikian, mereka tidak sepakat atas ucapan baginda (saw). Kata mereka, "Bagaimana mungkin Isa itu seperti manusia lain sedangkan dia tidak mempunyai ayah? Oleh kerana itu, dia adalah anak Allah bahkan menyatu di dalamNya". Nabi (saw) menjawab dakwaan palsu mereka dengan wahyu Ilahi :

Firman Allah :

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya ; "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)".(Surah Ali 'Imran : ayat 59)

Penciptaan Nabi Isa (as) tanpa ayah tidaklah lebih sukar untuk difahami berbanding Nabi Adam (as) yang melalui proses penciptaan tanpa ayah dan ibu. Bahkan penciptaan Nabi Adam (as) lebih membangkitkan rasa takjub. Andaikata keadaan itu dilihat sebagai dalil untuk meletakkan Nabi Isa (as) pada posisi "Ilahiyyah" (Ketuhanan), maka adalah lebih utama untuk memberikan posisi "Ilahiyyah" tersebut kepada Nabi Adam (as). Ketika kaum Nasrani Najran tidak meyakini kewujudan posisi tersebut pada Nabi Adam (as), bapa ummat manusia, maka sewajarnyalah mereka tidak mengajukan dakwaan seumpamaan itu pada Nabi Isa (as).

Kaum Nasrani Najran tidak menerima dalil Ilahi tersebut bahkan semakin keras menunjukkan penentangan mereka ke atas Nabi (saw). Baginda (saw) kemudian mengajak mereka berdasarkan perintah Allah (swt) untuk melakukan "Mubahalah". Allah berfirman :

"Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta".(Surah Ali 'Imran : ayat 61)

Dalam peristiwa tersebut, Nabi (saw) turut membawa bersamanya Imam Ali (as), Sayyidah az-Zahra (as), Imam Hasan (as) dan Imam Husain (as). Terdapat beberapa hikmah besar dan penting melalui kehadiran mereka dalam peristiwa "Mubahalah" tersebut :

1-Penetapan dan pernyataan pasti tentang kebenaran dakwah dan kenabian baginda (saw). Baginda (saw) sanggup menyertakan dua orang belahan jiwanya iaitu Imam Hasan (as) dan Imam Husain (as), satu-satunya puteri kesayangan baginda iaitu Fatimah az-Zahra (as) dan Imam Ali (as). Baginda (saw) datang dengan komposisi seperti itu dalam melakukan "Mubahalah" supaya Allah mencabut benih kedustaan dan kebatilan sehingga ke akar umbinya. Ertinya, baginda (saw) ingin mengisytiharkan, "Sesungguhnya aku berada di atas keyakinan yang mutlak bahawa kebenaran sentiasa bersamaku sementara yang lain sentiasa berada di atas kebatilan. Keyakinan ini kumiliki hingga ke tahap aku berani membawa bersamaku orang-orang yang amat kucintai untuk melakukan "Mubahalah".

2-Pengisytiharan tentang tingginya kedudukan dan maqam orang-orang yang bersama dengan baginda (saw). Mereka adalah orang-orang yang memiliki kedudukan sebagai anak-anak, isteri-isteri dan diri baginda sendiri. Sesungguhnya perkataan "abnaa-anaa" (anak-anak kami) telah menunjukkan dengan jelas bahawa sesungguhnya al-Hasan dan al-Husain adalah merupakan putera Nabi (saw). Perkataan "anfusanaa" (diri-diri kami) pula menunjukkan bahawa Ali adalah diri Rasulullah (saw) itu sendiri sementara perkataan "nisaa-ana" (wanita-wanita kami) menunjukkan kepada ummat Islam bahawa sesungguhnya az-Zahra adalah satu-satunya orang yang memiliki keutamaan di atas seluruh para wanita di sekalian alam.

3-Supaya manusia mengetahui bahawa penyertaan dan kebersamaan mereka dengan Rasulullah (saw) merupakan ajakan tepat daripada baginda (saw) iaitu penegakan kebenaran (al-haq) dan pembatalan atas kebatilan (al-batil).


Cara Mereka Bermubahalah :

Sebelum kaum Nasrani Najran mengusulkan untuk melakukan "Mubahalah", Rasulullah (saw) datang di waktu pagi pada 24 Zulhijjah, 10 Hijriyyah. Baginda (saw) mengendong al-Husain di dadanya dan menuntun al-Hasan dengan tangannya sementara Fatimah dan Ali berjalan di belakangnya. Rasulullah (saw) berkata kepada mereka, "Ketika kalian mendengar aku melaknat, maka katakanlah 'Amin' ".

Ketika melihat Nabi (saw) dan orang-orang yang bersamanya berada dalam keadaan seperti itu, pemimpin Najran berkata, "Ketahuilah, wahai kaum Nasrani, sesungguhnya wajah-wajah yang ku lihat, seandainya mereka bersumpah atas nama Allah agar melenyapkan gunung, nescaya Allah akan melenyapkannya. Oleh kerana itu, berhati-hatilah kalian dengan 'Mubahalah' melawan mereka. Sesungguhnya kalian pasti akan binasa dan takkan ada lagi kaum Nasrani yang akan tersisa setelah itu di atas muka bumi ini ".

Lantas mereka berkata kepada Nabi (saw), "Kami rasa, kami tidak perlu bermubahalah dengan anda. Anda tetap dengan agama anda dan kami tetap dengan agama kami ".

Nabi (saw) bersabda, "Sekarang kalian telah menarik diri dari bermubahalah, maka menyerahlah kalian (masuklah Islam) untuk bersama-sama kaum Muslimin dalam keadaan bahagia dan susah ". Namun mereka semua tetap menolak.

Baginda (saw) bertanya, "Apakah kalian menghendaki perang? ". Mereka menjawab, "Kami tidak memiliki kekuatan untuk berperang melawan kaum Muslimin. Kami ingin berdamai dengan anda agar anda tidak memerangi kami dan agar anda tidak menakut-nakutkan kami serta agar kami tidak keluar dari agama kami. Kami akan memberikan ribuan helai pakaian baru yang harga setiap helai pakaian tersebut ialah 40,000 dirham ". Lalu baginda (saw) setuju berdamai dengan mereka di atas ketentuan tersebut.


Faktor Penting Dalam Ayat Mubahalah :

Sesungguhnya ummat Islam wajib berusaha untuk mendalami peristiwa 'Mubahalah' supaya mereka dapat mengenal dan mengetahui kedudukan, maqam serta keutamaan Ahlul Bait (as), khususnya yang berkaitan dengan perintah Ilahi kepada Nabi (saw) agar baginda datang bersama dengan mereka (anak-anak, wanita-wanita dan diri baginda) untuk bermubahalah.

Telah disepakati oleh seluruh Ulama Tafsir dan Ahli Hadis bahawa Rasulullah (saw) telah datang bersama Imam Ali (as) supaya jelas bahawa sesungguhnya tidak seorang pun selain Imam Ali (as) yang memiliki kedudukan sebagai diri Nabi (saw). Di antara Bani Hasyim dan para sahabat, tidak ada yang sepadan dengan Imam Ali (as). Rasulullah (saw) juga datang bersama Imam Hasan (as) dan Imam Husain (as), agar semua orang mengetahui bahawa kedua-duanya adalah putera Nabi (saw) dan tidak ada yang serupa dengan keduanya. Dan di antara para wanita pula, baginda hanya mengajak puterinya Fatimah az-Zahra (as). Meskipun ada isteri-isteri baginda dan para wanita keturunan Bani Hasyim lainnya, bagaimanapun baginda tidak datang dengan salah seorang dari kalangan mereka. Tambahan pula, dari segi nasab keturunan, keberadaan az-Zahra adalah sebagai puteri baginda. Di sini terdapat hubungan spiritual ('alaqah ruhiyyah) dan kesatuan maknawi (ittihad ma'nawi) antara keduanya. Sungguh, kedudukan yang dimiliki oleh az-Zahra di sisi Allah tidak pernah dicapai oleh mana-mana wanita lain. Kalau tidak sedemikian, tentu Rasulullah (saw) tidak akan datang bersama az-Zahra (as).

Dalam pada itu, perkataan (anak-anak, wanita-wanita dan diri-diri) dalam ayat ini disebutkan dalam bentuk 'plural' (jama'). Jika Rasullulah (saw) tidak membawa bersamanya kecuali Ali, Fatimah, Hasan dan Husain, ianya adalah supaya difahami bahawa mereka berempat adalah 'al-khashah' (yang khusus dan teristimewa). Juga memberikan kesimpulan bagi kaum Mukminin dan Mukminah seluruhnya bahawa kehadiran mereka berempat sama dengan kehadiran mereka keseluruhannya dan ucapan 'Amin' mereka berempat bagi Rasulullah (saw) adalah memadai kerana dengannya cukup bagi yang lain.

Benar, cukuplah untuk mengetahui keagungan serta kemuliaan kedudukan mereka berdasarkan kenyataan bahawa kaum Nasrani yang telah bersiap-sedia sejak hampir 60 hari dengan segala kekuatan yang dimiliki oleh mereka; keberanian, kesatriaan dan lain-lain lagi telah menyaksikan keagungan spiritual (ruhiyyah) dan karisma Ilahi serta cahaya maknawiyah yang dimiliki oleh orang-orang agung tersebut. Kaum Nasrani itu menjadi ketakutan dan mereka berkata di antara sesamanya bahawa sekiranya orang-orang agung itu bersumpah atas nama Allah untuk menghancurleburkan sebuah gunung, nescaya Allah akan melakukannya. Akhirnya mereka (kaum Nasrani) menolak untuk melakukan 'Mubahalah' dan akhirnya tunduk kepada Nabi (saw).


Komentar az-Zamakhsyari dan ar-Razi :

Az-Zamakhsyari salah seorang ulama Tafsir besar di sisi Ahlus Sunnah ketika mentafsirkan ayat al-Mubahalah mengatakan , "Peristiwa Mubahalah merupakan dalil yang kuat dan tidak ada yang lebih kuat darinya atas keutamaan Ahlul Bait (as)".

Sementara Fakhru ar-Razi mengatakan, "Sesungguhnya peristiwa Mubahalah merupakan dalil akan keutamaaan Ahlul Bait (as) di atas seluruh sahabat Nabi (saw).

Terkait Berita: