Pesan Rahbar

Home » » Syiah dan Al-Quran (6)

Syiah dan Al-Quran (6)

Written By Unknown on Friday, 22 April 2016 | 18:13:00


Syi'ah dan al-Qur'an - Ayat Tabligh atau Hadith al-Ghadir

Iaitu firmanNya (Surah al-Mai'dah (5:67)"Hai Rasul, sampaikan apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan anamatNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir."

Allah SWT telah memerintahkan NabiNya di Ghadir Khum supaya menyampaikan ayat yang mulia ini kepada umat Muslimin. Semua ahli Tafsir Sunnah dan Syi'ah bersepakat bahawa ayat ini diturunkan di Ghadir Khum mengenai 'Ali AS bagi melaksanakan urusan Imamah. Ianya merupakan nas bagi jawatan khalifah yang besar dan pimpinan agama yang mulia. Tidak akan mengesyakinya melainkan orang yang mengikut hawa nafsu atau kerana fanatik kepada mazhab yang dianuti. Sikap tersebut adalah menyalahi Qur'an dan mengingkari hadith-hadith Nabi SAW yang mutawatir yang disepakati kesahihannya kecuali orang fanatik yang dikuasai oleh nafsu al-Ammarah. Lantaran itu dia akan binasa kerana pengingkarannya terhadap asas agama.

Al-'Allamah al-Sayyid al-'Abbas al-Kasyani menyatakan di dalam buku Masabih al-Jinan bahawa hari perayaan al-Ghadir adalah perayaan Allah yang besar dan perayaan Ahlu l-Bayt Muhammad SAW. Ianya sebesar-besar perayaan dan semulia-mulia perayaan di sisi mereka. Iaitu hari di mana Rasulullah SAW telah melantik 'Ali sebagai imam dan khalifah selepasnya dengan kehadiran beribu-ribu kaum Muslimin yang datang dari segenap pelusuk dunia.

Beliau telah memerintahkan mereka supaya membai'ahnya dan menyerahkan kepadanya urusan pemerintahan Mukminin. Peristiwa ini berlaku semasa Haji Wida' di suatu tempat bernama Ghadir Khum, tiga batu dari Juhfah berhampiran Rabigh selepas beliau kembali daripada mengerjakan haji di antara Makkah dan Madinah. Jibra'il datang kepada beliau untuk tujuan tersebut. Nabi SAW merasa takut untuk menyalahi kaumnya, lalu beliau berdoa: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku masih baru dengan zaman Jahiliyyah. Apabila aku melakukan perintah ini, mereka akan berkata: Beliau melakukannya kepada sepupunya. Kemudian Jibra'il AS datang kepadanya kali kedua di mana lima jam berlalunya siang dan berkata: Ya Muhammad! Sesungguhnya Allah menyampaikan salam kepada anda dan berfirman maksudnya: Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (iaitu tentang 'Ali) dan sekiranya kamu tidak melaksanakannya maka kamu tidak menyampaikan risalahNya."

Bilangan hadirin adalah melebihi satu ratus ribu orang. Jibra'il memberitahu Nabi SAW supaya orang ramai berhenti di tempat itu, dan mengisytiharkan 'Ali sebagai khalifah kepada mereka, dan menyampaikan kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah memeliharanya 'Asamahu daripada orang ramai. Manakala tiba di Ghadir Khum, azan berkumandang di udara dan solat berjama'ah didirikan.

Di hari itu panas terik, sekiranya daging dicampakkan ke tanah nescaya ia akan masak. Nabi SAW menyuruh mereka supaya menyusun batu seperti mimbar kemudian diteduhi dengan kain di atasnya. Lalu beliau berdiri di atasnya manakala mereka berhimpun, beliau memberi khutbahnya yang paling bersejarah, menguatkan suaranya supaya dapat didengari oleh seratus ribu lebih Muslimin yang datang dari setiap pelusuk. Selepas memuji Allah, beliau menyampaikan nasihat dan mengisytiharkan kepada ummah tentang kematiannya seraya berkata: Aku telah dipanggil dan hampir aku menyahutinya dan denyutan jantung hatiku kian memuncak di hadapan kalian." Kemudian beliau mengangkat tangan 'Ali AS sehingga orang ramai melihat keputihan ketiak Rasulullah SAW sambil berkata: Wahai manusia! Tidakkah aku lebih aula daripada diri kalian? Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah (SAW). Beliau bersabda: Wahai Tuhanku, siapa yang aku telah menjadi maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Wahai Tuhanku, cintailah mereka yang mewalikannya dan memusuhilah mereka yang memusuhinya. Dan tolonglah orang yang menolongnya. Hinalah orang yang menghinanya. Marahilah orang yang memarahinya. Cintailah orang yang mencintainya. Muliakanlah orang yang memuliakannya. Sesungguhnya Allah menyempurnakan bagi kalian agama kalian dengan wilayah dan imamahnya. Tidak memarahi 'Ali melainkan orang yang celaka. Tidak mewalikan 'Ali melainkan orang yang bertaqwa. Wahai manusia! Janganlah kalian kembali selepasku dalam keadaan kafir, bunuh membunuh sesama kalian. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang beharga jika kalian berpegang teguh kepadanya, kalian tidak akan sesat selama-lamanya: Kitab Allah dan Itrah Ahlu l-Baitku. Kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan di Haudh.

Wahai manusia! Telah sesat kebanyakan orang-orang yang terdahulu. Akulah Sirat al-Mustaqim di mana Allah telah memerintahkan kalian supaya berjalan di atasnya untuk mendapat petunjukNya. Ali selepasku, kemudian Hasan, Husain dan sembilan (manusia) imam daripada keturunannya yang menunjuk kebenaran. Sesungguhnya aku telah menerangkan kepada kalian dan memahamkan kalian. Dan inilah 'Ali yang akan memahamkan kalian selepasku. Sesungguhnya aku menyeru kalian supaya berjabat tanganku sebagai tanda membai'ahnya dan memperakuinya. Sesungguhnya aku telah membai'ah Allah dan 'Ali mengikut sama. Sesungguhnya bai'ah kalian kepadanya adalah daripada Allah. Justeru itu sesiapa yang mengingkari bai'ahnya maka dia sesungguhnya mengingkari dirinya sendiri. Dan sesiapa yang menepati apa yang telah dijanjikan Allah SWT maka Dia akan memberi ganjaran yang besar."

Tiba-tiba 'Umar bin al-Khattab berkata kepada 'Ali: Tahniah kepada anda wahai anak lelaki Abu Talib. Anda adalah maulaku dan maula setiap Mukmin dan Mukminat. Di dalam riwayat yang lain pula Umar berkata: Selamat bahagia untuk anda wahai 'Ali. Abu Sa'id al-Khudri berkata: Pada masa itu kami belum pulang sehingga turunnya ayat ikmalu d-Din (Surah al-Maidah (5):3) yang bermaksud:"Pada hari ini telahku sempurnakan bagimu agamamu, dan telahku cukupkan kepadamu nikmatku, dan telahku redha Islam itu agamamu."

Nabi bersabda: Allahu Akbar kerana menyempurnakan agama, menyempurnakan nikmat dan keredhaan Tuhan dengan risalahku dan dengan wilayah 'Ali AS selepasku. Kemudian Hasan bin Tsabit bangun dan berkata: Izinkan aku wahai Rasulullah SAW untuk mengemukakan beberapa rangkapan syair mengenai 'Ali supaya anda mendengarnya. Maka Rasulullah SAW menjawab: Katakanlah semoga anda di dalam keberkatan Allah. Maka Hasan mengemukakan syair berikut:

Mereka diseru di hari al-Ghadir oleh Nabi mereka
di Khum aku mendengar bersama Rasul seorang penyeru.
Dia berkata: Siapakah maula dan wali kalian?
mereka menjawab: Mereka tidak melahirkan di sana sebarang kesamaran.
Tuhan anda ialah maula kami dan anda adalah wali kami hanya penderhaka sahaja yang menentang kami di dalam wilayah.
Maka dia berkata kepadanya: Berdirilah wahai 'Ali,
maka sesungguhnya aku meredhai anda selepasku menjadi imam dan petunjuk.
Maka sesiapa yang telah menjadikan aku sebagai maulanya, maka ini adalah walinya maka jadikanlah kalian baginya pembantu-pembantu yang benar
Di sana beliau menyeru: Wahai Tuhanku perwalikanlah walinya
dan jadikanlah orang yang menentang 'Ali sebagai musuhnya.
Al-Allamah al-Kasyani telah menyatakan di dalam Masabih al-Jinan bahawa ahli-ahli sejarah Islam dari berbagai mazhab telah menyebutkan pendirian Nabi SAW di Hari al-Ghadir dan perlantikan 'Ali sebagai khalifah memadailah di hari yang bersejarah itu satu kehormatan dan kemuliaan telah diberikan oleh pengarang-pengarang penyair-penyair mengenainya. Justeru itu amatlah sukar untuk dikemukakan sekaligus apa yang terkandung di dalam buku-buku Tafsir, Hadith, Musnad, Sirah dan sastera mengenai al-Ghadir. Buatlah rujukan kepada dua buku yang masyhur; al-'Aqabat dan al-Ghadir.


Aku berpendapat sebenarnya para ulama Islam telah bersepakat bahawa ayat al-Tabligh (Surah al-Maidah(5):67) telah diturunkan kepada 'Ali AS secara khusus bagi mengukuhkan khalifah untuknya. Di hari tersebut riwayat hadith al-Ghadir adalah Mutawatir. Ianya telah diriwayatkan oleh semua ahli sejarah dan ahli Hadith dari berbagai golongan dan ianya telah diperakukan oleh ahli Hadith dari golongan Sunnah dan Syi'ah. Ianya tidak dapat ditolak kecuali orang yang takbur, degil dan bodoh. Sebahagian meriwayatkannya dengan panjang dan sebahagian yang lain pula meriwayatkannya secara ringkas. Bilangan perawi-perawinya dari kalangan sahabat melebihi satu ratus sepuluh orang termasuk sahabat-sahabat yang terlibat di dalam peperangan Badr. Bilangan perawi-perawi dari kalangan tabi'in yagn meriwayatkannya ialah lapan puluh empat orang. Sementara bilangan ulama dan Muhaddithin di kalangan Ahlu s-Sunnah yang meriwayatkan hadith al-Ghadir ialah sebanyak tiga ratus enam puluh orang yang berdasarkan kepada buku-buku rujukan Ahlu s-Sunnah wal-Jama'ah.

Kemungkinan besar bilangan perawi-perawi yang tidak dapat dikesan adalah lebih ramai daripada itu. Sepatutnya bilangan perawi-perawi hadith tersebut berkali ganda ramai kerana bilangan mereka yang mendengar khutbah Nabi SAW adalah melebihi seratus ribu orang. Biasanya mereka menceritakan peristiwa tersebut apabila mereka kembali ke tanah air mereka sebagaimana seorang penyair berkata:

Dan ketahuilah sesungguhnya tetamu memberitahukan keluarga malam yang dilaluinya sekalipun ianya tidak ditanya.

Ya! Semuanya akan melakukan sedemikian melainkan sebilangan daripada mereka yang mempunyai perasaan dendam kesumat di hati mereka. Lalu mereka menyembunyikannya kerana kemarahan dan hasad dengki mereka.

Adapun Syi'ah, mereka telah bersepakat tentang kemutawatirannya. Tetapi manakala sabitnya hadith al-Ghadir sehingga mencapai ke tahap di mana orang yang mempunyai perasaan iri hati tidak dapat menolaknya, lalu ditanamkan perasaan curiga kepada perawi-perawi dan riwayat-riwayat mereka pula. Mereka menakwilkan perkataan al-Maula menurut hawa nafsu mereka. Kadangkala mereka mentafsirkannya dengan pencinta (al-Muhibb), pembantu (al-Nasir) dan dengan perkataan al-Aula (lebih utama).

Demikianlah sekiranya mereka tidak ada jalan lain lagi untuk melakukan kecacatan dan 'kelemahan' di dalam penafsiran ayat dan hadith. Mereka juga mengatakan bahawa Nabi SAW berada di Ghadir Khum, dan berkhutbah bagi menerangkan kepada orang ramai tentang kedudukan 'Ali dan memperkenalkannya ('Ali) kepada orang ramai dan bukan bertujuan untuk menjadikannya khalifah selepasnya.

Adapun orang yang syak tentang perkataan al-Waliyy sebagaimana telah disebutkan, sekalipun ianya mungkin memberi pengertian-pengertian tersebut sebagaimana dikatakan oleh lawan yang angkuh, maka ianya pasti memberi pengertian 'orang yang lebih berhak dengan khalifah'. Dan tidak harus seorangpun melakukan perkara tersebut selain daripadanya ('Ali AS). Dalil kami ialah ayat al-Wilayah (Surah al-Maidah (5):55). Adapun pendapat lawan yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW berada di Ghadir Khum adalah untuk menerangkan kepada orang ramai tentang kedudukan 'Ali AS sahaja dan bukan sebagai pengganti Nabi SAW adalah rekaan semata-mata. Lantaran itu percakapannya adalah batil, tidak sampai kepada hakikat dan ianya tidak dapat diterima.

Kerana seolah-olah 'Ali AS tidak dikenali sebelumnya sehingga Rasulullah SAW berada di tempat tersebut dan memperkenalkannya kepada orang ramai pada masa yang mencemaskan dengan suhu yang tinggi. Sebagaimana telah diterangkan kepada kalian sesungguhnya 'Ali lebih dikenali di dalam peperangan-peperangannya, disaksikan oleh peristiwa-peristiwa tersebut dan beliau ('Ali AS)lah yang telah mengukuhkan agama ini dengan pedangnya.

Oleh itu dalil yang paling kuat tentang kebenaran dakwaan kami ialah 'Ali AS sendiri berdiri memberi khutbahnya di atas mimbar di Rahbah sebagaimana telah disebutkan oleh semua ahli sejarah selepas beliau menjadi khalifah.

Dia berkata: Aku menyeru kerana Allah bagi setiap orang yang mendengar Rasulullah SAW bersabda di Hari al-Ghadir supaya berdiri dan mempersaksikan apa yang telah didengarinya. Dan tidak boleh berdiri melainkan orang yang melihatnya (Nabi SAW) dengan matanya dan mendengar dengan kedua telinganya. Maka tiga puluh sahabat berdiri termasuk dua belas orang yang telah mengambil bahagian di dalam peperangan Badr. Maka mereka telah menyaksikan bahawa beliau SAW telah memegang 'Ali dengan tangannya dan berkata kepada orang ramai: Tidakkah anda mengetahui bahawa sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.

Pembaca yang budiman tentu sekali tidak akan mengatakan bahawa tiga puluh sahabat itu telah berbohong, kerana ini tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Lantaran itu pencapaian tahap kemutawatiran hadith al-Ghadir yang berlaku semata-mata dengan penyaksian mereka adalah Qat'i. Dan tidak syak lagi bahawa hadith ini pula diambil oleh semua orang yang berada di Rahbah di dalam perhimpunan tersebut, dan menyebarkannya selepas mereka pulang ke tempat-tempat mereka.

Sebagaimana Sayyid Syarafuddin al-Musawi berkata di dalam bukunya al-Murujaat (Dialog Sunnah-Syi'ah); Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa hari Rahbah itu berlaku semasa Khalifah Amiru l-Mukminin. Beliau telah dibai'ah pada tiga puluh lima hijrah. Hari al-Ghadir ialah pada Haji Wida' tahun kesepuluh. Dan jarak masa di antara dua hari tersebut (hari al-Ghadir dan hari Rahbah) ialah dua puluh lima tahun.
Di sepanjang masa tersebut telah menular penyakit taun dan berlaku beberapa peperangan yang telah meragut nyawa sebahagian besar para sahabat yang telah menyaksikan hari al-Ghadir dan pemuda-pemuda mereka yang terlibat di dalam peperangan meninggal dunia. Sehingga tinggal bilangan kecil yang masih hidup dan yang masih hidup pula tinggal di merata-rata tempat. Justeru itu mereka yang menyaksikan hari Rahbah ialah mereka yang tinggal bersama Amiru l-Mukminin di Iraq. Meskipun begitu tiga puluh sahabat berdiri dan memberikan penyaksian mereka. Dua belas daripada mereka terlibat di dalam peperangan Badr, telah menyaksikan hadith hari al-Ghadir dan mendengarnya daripada Nabi SAW. Memang terdapat sahabat-sahabat seperti Anas bin Malik yang enggan memberi penyaksian tersebut di mana 'Ali AS berkata kepadanya: Kenapa anda tidak berdiri bersama-sama sahabat-sahabat Rasulullah SAW untuk memberi penyaksian kepada apa yang telah anda dengari daripadanya di hari itu? Dia menjawab: Wahai Amiru l-Mukminin. Aku telah tua dan pelupa pula.

Lantas 'Ali AS berkata: Sekiranya anda berbohong, nescaya Allah akan mengenakan anda dengan penyakit keputihan kulit yang tidak dapat ditutupi serban. Dia tetap tidak berdiri sehingga mukanya di hinggapi keputihan kanser. Selepas itu dia berkata: Aku ditimpa penyakit ini disebabkan berkat hamba yang soleh ('Ali AS). Jikalaulah Imam 'Ali AS membuat persiapan bagi menghimpunkan semua sahabat yang masih hidup di masa itu, kemudian beliau menyeru mereka sebagaimana beliau telah melakukannya di hari Rahbah, nescaya bilangan mereka akan berlipat ganda lagi. Apatah lagi jika beliau membuat persiapan itu di Hijaz sebelum berlakunya Hari al-Ghadir. Lantaran itu hakikat ini nescaya anda akan mendapatinya sekuat-kuat dalil kemutawatiran hadith al-Ghadir.


Di sini aku akan kemukakan kepada pembaca yang budiman sebahagian daripada pendapat-pendapat ahli Tafsir dan ahli hadith mengenai ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah (5):56)"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu...." dan ayat Ikmaluddin dalam (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu...." dan ayat (Surah al-Ma'arij (70):1)"Seorang telah meminta kedatangan azab...." serta hadith: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....dan lain-lain hadith yang telah dikaitkan secara khusus mengenai 'Ali AS untuk jawatan khilafah dan Imamah selepas Rasulullah SAW secara langsung di Hari al-Ghadir.

Hadith al-Ghadir telah diriwayatkan oleh para ulama besar Muslimin dengan sanad yang mutawatir dan dikhususkan kepada Imam Amiru l-Mukminin 'Ali AS.

Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul berkata: Sesungguhnya ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah(5):67) telah diturunkan di hari al-Ghadir pada 'Ali bin Abi Talib RD. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur berkata: Ibn Abi Hatim, Ibn Mardawaih dan Ibn Asakir telah meriwayatkannya daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa ayat al-Tabligh (Surah al-Mai'dah(5): 67) telah diturunkan ke atas Rasulullah di hari al-Ghadir mengenai 'Ali bin Abu Talib AS.

Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib berkata: Ahli Tafsir telah menyebutkan bahawa sebab turun ayat ini sehingga dia berkata: (kesepuluh) ayat ini telah diturunkan tentang kelebihan 'Ali bin Abi Talib AS. Manakala ayat ini diturunkan Nabi SAW memegang tangan 'Ali AS dan bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Hormatilah orang yang mewalikannya dan musuhilah orang yang memusuhinya. Kemudian Umar (RD) memujinya dan berkata: Tahniah kepada anda wahai anak Abu Talib. Anda telah menjadi maulaku dan maula semua mukmin dan mukminah. Ini adalah riwayat Ibn 'Abbas, al-Barra' bin Azib dan Muhammad bin Ali.

Al-Nisaburi di dalam Tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini telah diturunkan mengenai kelebihan 'Ali bin Abi Talib RD di hari al-Ghadir. Dia menyebutkan sebagaimana telah disebutkan oleh Fakhruddin al-Razi satu demi satu.

Al-Syaukani di dalam Tafsirnya menyebutkan bahawa Abu al-Syaikh meriwayatkan daripada al-Hasan bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya Allah telah mengutuskan (kepadaku) satu misi yang mencemaskan, aku mengetahui bahawa sesungguhnya orang ramai akan membohongiku. Maka Dia telah menjanjikan aku supaya aku menyampaikannya atau Dia akan menyiksaku. Maka turunlah ayat al-Tabligh (Surah al-Maidah (5):67)"Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu....Dia telah menyebutkan apa yang telah disebutkan oleh al-Suyuti bahawa ianya diturunkan di hari al-Ghadir Khum tentang 'Ali bin Abi Talib AS. Dan mereka membaca ayat tersebut dengan: Inna Aliyyan Maula al-Mukminin (Sesungguhnya 'Ali adalah wali Mukminin).

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah menulis: al-Tha'labi telah meriwayatkan daripada Ibn Salih daripada Ibn 'Abbas daripada Muhammad al-Baqir RD mereka berdua berkata: Ayat ini diturunkan mengenai 'Ali AS.
Al-Alusi di dalam Ruh al-Ma'ani berkata: Ibn 'Abbas berkata: Ayat ini diturunkan kepada 'Ali AS. Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya mengisytiharkan kepada orang ramai (para sahabatnya) mengenai wilayah 'Ali AS. Rasulullah SAW merasa takut bahawa mereka akan berkata bahawa beliau SAW memilih sepupunya. Mereka akan menentang beliau mengenainya. Lantaran itu Allah menurunkan ayat ini, maka beliau melaksanakan wilayahnya ('Ali AS) dan berkata: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Dia telah menyebutkannya sebagaimana telah disebutkan oleh al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur hingga ke akhirnya.

Muhammad Rasyid Ridha di dalam Tafsir al-Manar menyatakan bahawa Syaikh Muhammad 'Abduh menyatakan bahawa ayat ini diturunkan di hari al-Ghadir mengenai 'Ali bin Abu Talib AS. Dia menyebutkannya daripada Abi Hatim, Ibn Mardawaih dan Ibn Asakir. Kemudian dia menyebutkan riwayat Ibn 'Abbas bahawa ayat yang mulia ini telah diturunkan mengenai ('Ali AS) di Ghadir Khum sebagaimana telah disebutkan oleh al-Alusi mengenai ayat Ikmal al-Din (Surah al-Maidah(5):3)"Pada hari ini telahku sempurnakan bagimu agamamu."

Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur mengaitkan riwayat Ibn Mardawaih daripada Ibn Asakir kepada Abu Sai'd al-Khudri. Dia berkata: Manakala Rasulullah SAW melantik 'Ali AS pada hari Ghadir Khum, maka beliau SAW mengisytiharkan wilayah 'Ali AS. Lalu Jibra'il AS menurunkan ayat Ikmalu d-Din (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu."

Melalui Ibn Mardawaih, Ibn Asakir dan al-Khatib kepada Abu Hurairah, dia berkata: Manakala Hari Ghadir Khum iaitu hari kelapan belas Dhul Hijjah, Nabi SAW bersabda:"Siapa yang telah menjadikan aku maulanya maka 'Ali adalah maulanya. Maka Allah pun menurunkan ayat Ikmalu d-Din (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu...."

Al-Khatib di dalam Tarikh al-Baghdad mengaitkan sanad secara langsung daripada Abu Hurairah: Mankala Nabi SAW memegang tangan Ali bin Abi Talib AS beliau bersabda: Tidakkah aku wali bagi Mukminin? Mereka menjawab:Ya! Wahai Rasulullah SAW. Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Umar bin al-Khattab berkata: Selamat bahagia untuk anda anak lelaki Abu Talib. Anda menjadi maulaku dan maula setiap Muslim. Maka Allah pun menurunkan ayat Ikmalu d-Din (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu."Al-Samhudi di dalam Fara'id al-Simtin bab kedua belas dengan sanadnya berhubung dengan Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW telah menyeru orang ramai pada hari Ghadir Khum kepada (pimpinan) 'Ali AS. Nabi SAW meminta 'Ali AS berdiri. Peristiwa ini berlaku pada hari Khamis. Beliau SAW mengangkat tangan 'Ali AS sehingga orang ramai melihat keputihan ketiak Rasulullah SAW. Kemudian mereka tidak meninggalkan tempat itu sehingga turunnya ayat (Surah al-Mai'dah(5):3)"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu." Maka Rasulullah SAWAW bersabda: Allahu Akbar kerana menyempurnakan agama dan menyempurnakan nikmat dan keridhaan Tuhan dengan risalahku dan wilayah 'Ali AS selepasku, kemudian beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Alilah maulanya...."

Al-Ya'qubi di dalam Tarikhnya berkata: Ada pendapat yang mengatakan bahawa ayat yang akhir sekali diturunkan ialah "Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu." Ia adalah riwayat yang sahih dan telah diturunkan pada hari perlantikan Amiru l-Mukmini 'Ali bin Abi Talib AS di Ghadir Khum. Begitu juga mengenai ayat al-Ma'arij, mereka menyatakan bahawa ayat tersebut diturunkan mengenai hak 'Ali AS.

Al-Syablanji di dalam Nur al-Absar menjelaskan bahawa al-Tha'labi telah menyatakan bahawa Sufyan bin 'Uyainah ditanya tentang (Surah al-Ma'arij(70):1-2)"Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa orang kafir yang tidak seorangpun dapat menolaknya." Kepada siapakah ayat ini diturunkan ? Maka dia menjawab: Anda bertanya kepadaku tentang masalah yang tidak pernah ditanya oleh seorangpun mengenainya. Sebelum anda bapaku telah memberitahukannya kepadaku daripada Ja'far bin Muhammad AS daripada moyangnya bahawa Rasulullah manakala di Ghadir Khum, menyeru orang ramai supaya berhimpun. Maka beliau SAW memegang tangan 'Ali AS dan bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya..."

Perkara ini telah tersebar di seluruh negara sehingga sampai kepada al-Harith bin al-Nu'man al-Fihri. Lantas dia mendatangi Rasulullah SAW dengan menaiki untanya. Dia berkata: Wahai Muhammad! Anda telah memerintahkan kami supaya kami mengucap tiada tuhan yang lain melainkan Allah dan sesungguhnya anda pesuruhNya maka kami menerimanya daripada anda. Anda telah memerintahkan kami berpuasa pada bulan Ramadhan, maka kami menerimanya. Anda memerintahkan kami tentang Haji, maka kami menerimanya. Kemudian anda tidak puas lagi dengan ini semua sehingga anda mengangkat sepupu anda mendahului kami. Kemudian anda berkata: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya...Adakah ini daripada Allah atau daripada anda? Nabi SAW bersabda: Demi Tuhan, tiada tuhan yang lain selain daripada Dia sesungguhnya ini adalah daripada Allah 'Azza wajalla. Lantas al-Harith berpaling untuk meneruskan perjalanannya seraya berkata: Wahai Tuhan, sekiranya apa yang dikatakan oleh Muhammad itu benar 'maka hujanilah ke atas kami batu daripada langit atau datanglah kepada kami siksaan yang pedih.' Maka Allah 'Azza wajalla menurunkan ayat (Surah al-Ma'arij (70:1-2).

Ibn al-Sibagh al-Maliki dalam al-Fusul al-Muhimmah, Sibt Ibn al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Khawwas, Rasulullah SAW bersabda dalam keadaan dua matanya kelihatan merah: Demi Allah yang tiada tuhan melainkan Dia bahawa ianya daripada Allah dan bukan daripadaku. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

Adapun hadith Nabi SAW: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya, Ahmad bin Hanbal di dalam al-Musnadnya telah mengambil sanadnya daripada al-Barra' bin 'Azib dia berkata: Kami bersama Rasulullah SAW di dalam satu perjalanan. Maka kamipun sampai di Ghadir Khum. Kami 'diseru' supaya melakukan solat secara berjamaah dan dibersihkan untuk Rasulullah SAW satu tempat di bawah dua pokok. Maka beliau mengerjakan solat Zuhr kemudian memegang tangan 'Ali AS sambil bersabda: Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya! Beliau bersabda lagi: Tidakkah kalian mengetahui bahawa aku lebih aula daripada setiap mukmin daripada dirinya? Mereka menjawab: Ya! Maka beliau memegang tangan 'Ali AS dan bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...Maka 'Umar menemuinya selepas itu dan berkata: Tahniah kepada anda wahai anak lelaki Abu Talib. Anda adalah maula setiap mukmin dan mukminat.

Ahmad bin Hanbal juga di dalam Musnadnya meriwayatkan hadith ini daripada 'Atiyyah al-'Aufi dia berkata: Aku bertanya Zaid bin Arqam. Dan aku berkata kepadanya bahawa menantuku telah memberitahukan kepadaku tentang anda mengenai hadith tentang 'Ali AS pada hari Ghadir Khum. Aku ingin mendengarnya daripada anda sendiri. Maka dia menjawab: Wahai orang-orang Iraq! Kalian telah mengetahuinya. Maka aku berkata kepadanya teruskanlah. Maka dia berkata: Ya! Kami berada di Juhfah. Rasulullah SAW memegang tangan 'Ali AS dan berkata: Wahai manusia! Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku lebih aula dengan Mukminin daripada diri mereka sendiri? Mereka menjawab: Ya! Beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...

Ibn Majah di dalam Sunannya telah meriwayatkannya sehingga kepada al-Barra' bin 'Azib. Al-Nasa'i di dalam Khasa'is 'Ali meriwayatkan sanadnya kepada Sa'ad, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya...maka 'Ali adalah maulanya....Dia juga meriwayatkan sanadnya sampai kepada Zaid bin al-Arqam, dia berkata: Rasulullah SAW berdiri, memuji Allah kemudian bersabda: Tidakkah kalian mengetahui sesungguhnya aku aula dengan setiap mukmin daripada dirinya? Mereka menjawab: Ya! Wahai Rasulullah SAW kami menyaksikan bahawa anda adalah aula bagi setiap mukmin daripada dirinya. Maka beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Beliau lalu berlalu memegang tangan 'Ali AS.

Ibn 'Abd Rabbih di dalam al-'Aqd al-Farid telah meriwayatkan ketika menyebutkan hujah al-Mukmun ke atas fuqaha' mengenai kelebihan 'Ali bin Abi Talib dia berkata di antaranya: Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...

Al-Suyuti di dalam Tarikh al-Khulafa' berkata al-Turmudhi telah meriwayatkannya daripada Abu Sarihah atau Zaid bin Arqam daripada Nabi SAW beliau bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka Ali adalah maulanya...Dia juga meriwayatkan perkara yang sama di dalam Kunuz al-Haqa'iq di Hamish al-Jami' al-Saghir hadith: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya.....

Di dalam Is'af al-Raghibin di Hamisy Nur al-Absar menyatakan bahawa Rasulullah SAW berada pada hari Ghadir Khum: Siapa yang menjadikan aku maulanya maka 'Ali adalah maulanya....Al-Muhibb al-Tabari di dalam al-Riyadh al-Nadhirah berkata: Daripada 'Umar bahawa dia berkata: 'Ali adalah maula bagi orang yang telah menjadikan Rasulullah SAW sebagai maulanya.

Al-Baghawi di dalam Masabih al-Sunnah meriwayatka daripada Nabi SAW beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya. Abu Nu'aim Al-Isfahani di dalam Hilyah al-Auliya meriwayatkan daripada Nabi SAW beliau bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Ibn al-Jauzi di dalam Tadhirah al-Huffaz menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....Al-Khatib di dalam Tarikh Baghdad meriwayatkan hadith al-Ghadir daripada Anas, dia berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Siapa yang telah menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya...

Demikianlah aku telah kemukakan kepada pembaca yang budiman sebahagian kecil daripada buku-buku rujukan Ahlu s-Sunnah wa l-Jama'ah. Walau bagaimanapun aku akan kemukakan pula kepada anda nama-nama perawi dengan menyebutkan rujukan mereka bagi menambahkan lagi penjelasan seperti berikut:

Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul. Muhammad bin Talhah al-Syafi'i di dalam Matalib al-Su'ul. Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib. Al-Tha'labi di dalam Tafsirnya. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur. Ibn Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah. Al-Turmudhi di dalam Sahihnya, dia berkata: Hadith ini adalah Hasan sahih. Al-Hakim di dalam al-Mustadrak berkata: Ini adalah hadith sahih menurut syarat al-Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) tetapi mereka berdua tidak meriwayatkannya. Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah. Al-Ya'qubi di dalam Tarikhnya.
Ibn Hajr di dalam fasal yang kelima daripada bab pertama bukunya al-Sawa'iq al-Muhriqah berkata: Ini adalah hadith sahih. Ianya telah diriwayatkan oleh golongan yang banyak seperti al-Turmudhi, al-Nasa'i dan Ahmad dengan cara yang banyak. Kemudian ianya diriwayatkan tiga puluh sahabat yang telah mendengarnya daripada Nabi SAW dan mempersaksikannya di hadapan 'Ali pada masa pemerintahannya di Rahbah. Kebanyakan sanadnya sahih atau hasan.

Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berkata: Abu Ja'far Muhammad bin Jarir al-Tabari pengarang al-Tafsir dan al-Tarikh telah mengumpulkan dua jilid riwayat dan lafaz-lafaznya. Begitu juga al-Hafiz Abu l-Qasim bin 'Asakir telah meriwayatkan hadith-hadith yang banyak di dalam khutbahnya.

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi' al-Mawaddah telah menceritakan daripada Abu l-Ma'ali al-Jawaini yang dikenali dengan Imam al-Haranaini, guru kepada al-Ghazali, bahawa dia menjadi hairan dan berkata: Aku melihat satu jilid buku mengenai hadith Ghadir Khum tertulis di atasnya jilid yang kedua puluh lapan. Ianya mengandungi berbagai riwayat tentang sabda Nabi SAW: Siapa yang menjadikan aku maulanya, maka 'Ali adalah maulanya....dan ianya akan disusuli dengan jilid yang kedua puluh sembilan.

Sebenarnya hadith-hadith mengenai al-Ghadir yang kami telah kemukakan tadi adalah merupakan sebilangan kecil sahaja, jika dibandingkan dengan hadith-hadith yang telah diriwayatkan di dalam bab ini yang tidak terkira banyaknya.

Ayatullah al-'Uzma Sayyid Hamid Husain al-Nisaburi RH di dalam 'Abaqat telah menyenaraikan nama-nama perawi yang telah menyebutkan hadith al-Ghadir. Semuanya daripada ulama-ulama besar Ahlu s-Sunnah. Ayatullah al-'Uzma Sayyid Syihab al-Din al-Mar'asyi al-Najafi di dalam Ta'liqatuhu 'Ala Ihqaq al-Haqa'iq karangan al-Sa'id al-Syahid al-Qadhi Nur Allah al-Tastari, al-Allamah al-Amini di dalam bukunya al-Ghadir. Begitu juga al-Imam al-Sayyid bin Tawus RH di dalam bukunya al-Iqbal (hlm. 663) telah menyenaraikan nama-nama ulama besar Ahlu s-Sunnah bahawa sesungguhnya mereka telah meriwayatkan hadith al-Ghadir dan memperakukan kesahihannya. Rujuklah kepada buku-buku tersebut wahai pembaca yang budiman!

(Ahlulbaytku/Berbagai-Sumber-Lain/ABNS)
Share this post :

Post a Comment

mohon gunakan email

Terkait Berita: